Sunday, 15 September 2019

PERPADUAN UMMAH & PIAGAM MUAFAKAT NASIONAL

Tanggal 14 September 2019 menjadi titik bersejarah dalam politik Malaysia dengan termeterainya satu persefahaman Piagam Muafakat National antara dua parti politik Melayu Islam terbesar tanah air. Hakikatnya, persefahaman dua parti ini yang banyak berjasa memperjuangkan dan mengekalkan kemerdekaan negara hingga ke hari ini bukanlah kali pertama, kerana PAS dan UMNO pernah bersama membentuk pemerintahan negara atas nama Barisan Nasional pada 28 Disember 1972.

Namun, bagi setengah pengkaji, penyatuan PAS-UMNO setelah insiden Mei 1969 itu, bukanlah atas sokongan dan dokongan penuh akar umbi parti, tetapi hanya atas persefahaman dua pemimpin tertinggi mereka ketika itu, iaitu Datuk Asri Muda dan Tun Abdul Razak. Atas sebab itulah dikatakan punca penyatuan tersebut gagal bertahan lama. Oleh itu, persefahaman 914 kali ini menjadi suatu harapan besar oleh setengah orang Melayu Islam terutama yang non-partisan untuk melihat kejayaan Piagam yang dimeterai itu, demi kecintaan kepada agama, bangsa dan negara. Apatah lagi persefahaman ini dilihat mendapat dokongan penuh akar umbi kedua parti, walaupun terdapat segelintir pimpinan yang masih sinis dengan matlamat sebenar Muafakat Penyatuan Ummah (Muafakat Nasional) ini serta pelbagai fitnah daripada lawan politik masing-masing.

Menariknya lagi, muafakat ini dimeterai dalam suasana rakyat Malaysia masih lagi dalam mood menyambut Kemerdekaan dan pembentukan Negara Malaysia. 14 hari selepas Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos, dan 2 hari menjelang Hari Malaysia pada 16 September. Bagi rakyat yang cintakan kemerdekaan, keamanan dan keharmonian negara, tentu sekali tarikh-tarikh tersebut mempunyai nilai sentimentalnya sendiri dalam menzahirkan kecintaan kepada negara. Dan sudah barang tentu, pemilihan tarikh memeterai Piagam Muafakat Nasional antara PAS dan UMNO ini mempunyai signifikan yang tersendiri.

September 2019, menjadi bulan penting dalam mencipta sejarah politik negara bertuah bernama Malaysia. Dikala negara dilanda tsunami politik yang penuh kecelaruan, kegagalan kepimpinan negara dan parti politik dalam memahami realiti politik negara dek kerana kepentingan serakah politik mereka sehingga pentadbiran negara dilihat gagal berfungsi dengan baik, ditengahnya tercipta satu muafakat politik terbesar antara dua musuh yang telah berpuluh tahun lamanya bermusuhan.

Pengharapan kepada muafakat ini, akan menjadi titik tolak kepada tajdid (pembaharuan) politik tanah air yang akan mengislahkan (memperbaiki) kerosakan sistem yang ada dengan meletakkan agama, bangsa dan negara sebagai asas dan pasak utama pembentukan ketamadunan Negara Islam bernama Malaysia.

Rasul Junjungan Besar Muhammad SAW pernah bersabda bahawa akan muncul dan bangkitnya pembaharuan di setiap zaman (setiap 100 tahun) atas nama agama.

Daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW dengan
sabdanya, “Sesungguhnya Allah akan membangkitkan bagi umat ini pada

awal setiap seratus tahun orang yang mentajdidkan bagi (umat)nya,

agamanya". (Hadis riwayat Abu Daud)

Tahun 2019 adalah tahun ke 95 kejatuhan Empayar Islam terakhir Turki Uthmaniyah. Kejatuhan Khalifah Islam terakhir akibat daripada retorik pembaharuan berbentuk sekular-liberal perlu diambil iktibar oleh umat Islam sejagat. Dan jika diamati sejarah kejatuhan Kerajaan Islam Turki Uthmaniyah dengan kejatuhan Kerajaan UMNO-BN yang lebih 60 tahun memerintah negara, jalan ceritanya seakan hampir sama. Retorik pembaharuan berbentuk sekular-liberal diangkat, anak muda dipergunakan kononnya "kuasa anak muda" sehingga terzahir kebanggaan dalam diri mereka setelah menempa 'kejayaan', tetapi akhirnya, 'kejayaan' yang diharap melangit telah mendatangkan kekecewaan dan penyesalan dalam kalangan mereka.

Dengan mengambil iktibar daripada sabda Rasulullah SAW dan peristiwa kejatuhan Empayar Islam Turki Uthmaniyah, umat Islam seharusnya bersiap sedia dalam segala kemungkinan. Bersedia dengan segala kemungkinan, kerana bukan sahaja kebenaran yang sedang bangkit, tetapi fitnah yang tidur mula terjaga. Dan keduanya, antara KEBENARAN (HAK) dan FITNAH (BATHIL) akan membawa kita kepada pengakhiran, sama ada baik atau buruk.

5 tahun lagi, akan genaplah seratus tahun kejatuhan Empayar Khalifah Islam terakhir itu. Dan disetiap seratus tahun, akan bangkit suatu tajdid dalam kalangan umat Islam. DAN TIDAK MUSTAHIL, jika Penyatuan Ummah dan Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai antara PAS-UMNO itu adalah SUATU YANG IKHLAS ATAS NAMA AGAMA, MENJUNJUNG AQIDAH DAN PENSYARIATAN ISLAM YANG SEBENAR, MELETAKKAN KEADILAN DAN KEBENARAN SEBAGAI ASAS PERJUANGAN, MAKA TIDAK MUSTAHIL TAJDID DAN ISLAH ITU AKAN DIMULAKAN DAN DIBANGKITKAN OLEH UMAT ISLAM DI MALAYSIA. TANAH YANG BERKAT, YANG BERSEMADI RAMAI ULAMA, KEKASIH ALLAH DAN RASULNYA.

Janji Allah itu PASTI, dan setiap yang diperkatakan Rasulnya adalah Wahyu Yang Maha Berkuasa.

Hang Tuah pernah berkata, "takkan Melayu hilang di dunia, selagi mana berpegang teguh dengan Islam".

@IbnuHazmi
15 September 2019

Tuesday, 9 July 2019

SEJARAH: ISLAM, MELAYU DAN PERJUANGAN


Keterlibatan para ulama dalam perjuangan membina negara bangsa Malaysia yang berdaulat tidak boleh dinafikan sama sekali. Begitu juga penafian yang mengatakan bahawa, hanya parti UMNO sahaja yang memperjuangkan bangsa dan kemerdekaan Tanah Melayu, manakala perjuangan para ulama dan agamawan Tanah Melayu hanya semata berkisar menegakkan syiar Islam dengan meletaktepikan perjuangan bangsa adalah retorik dalam penulisan sejarah. Tujuannya hanyalah untuk mengangkat suatu pihak dengan menidakkan pihak lain demi kepentingan kuasa dan politik.

Hakikatnya, perjuangan para Ulamak Tanah Melayu dalam menjaga kedaulatan dan kemerdekaan Tanah Melayu serta bangsa Melayu telah bermula sebelum penubuhan UMNO lagi.

Perjuangan ini bermula sejak Melaka ditakluki Portugis pada 24 Ogos Tahun 1511. Melihat kepada kemerosotan tamadun dan kejatuhan kuasa politik orang Melayu Islam ke tangan kuasa kuffar setelah kejatuhan Melaka pada 1511, para Ulamak Melayu mula berusaha keras mempertahankan bumi Islam ini. Apatah lagi, disebalik kejatuhan Melaka, bermula kejatuhan negeri-negeri Melayu Utara kepada penjajah Siam seperti Pattani, Yala, Nara, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Para Ulamak Melayu yang merasa "terhutang budi" terhadap peranan Melaka dalam menyebarkan Islam di Tanah Melayu, mula bangkit atas nama agama dengan melancarkan siri serangan jihad. Antaranya adalah daripada tentera jihad dari Demak, Acheh, Riau, Naning dan Johor berusaha menghalang Portugis dari bumi Melaka.

Begitu juga jihad mempertahankan bumi Melayu lain seperti di Pattani, Pahang dan sebagainya. Disebalik perjuangan jihad mempertahankan bumi Melayu ini, peranan yang dimainkan oleh para Ulamak amatlah besar. Para Ulamak tidak hanya berada di pondok-pondok, bahkan mereka berada di istana dan memegang jawatan penting termasuklah jawatan Wizarah al-Harb (Menteri Pertahanan). Antara Ulamak Melayu yang memainkan peranan ini adalah Tok Bendang Daya Tua atau Wan Mustafa al-Fathani yang merupakan Panglima Perang Pattani.

Pada Tahun 1870an, perjuangan kemerdekaan negera dan perjuangan mempertahankan kesucian Islam di Tanah Melayu telah berubah daripada bentuk jihad al-harbiyah (jihad perangan/ ketenteraan) kepada jihad organisasi kerana keadaan umat Islam ketika itu tidak mempunyai kekuatan yang cukup terutama setelah penjajahan British mula menguasai istana.

Bermulanya gerakan berorganisasi di Tanah Melayu adalah melalui gerakan yang berpusat di Makkah melalui sokongan Khalifah Uthmaniyyah di Istanbul. Melalui gerakan berorganisasi inilah, politik Islam mula dibina dengan perbagai saluran termasuk media massa dengan menerbitkan majalah atau surat khabar seperti al-Imam, Neracha dan al-Ikhwan.

Ulama Melayu pertama yang membentuk gerakan berorganisasi ini adalah Sheikh Ahmad bin Mohammad Zain al-Fathani (Sheikh Ahmad al-Fathani) melalui penubuhan Jam'iyah al-Fathaniyah di Mekkah pada Tahun 1873.

Kemudian Raja Ali Kelana yang merupakan murid kepada Sheikh Ahmad al-Fathani telah menubuhkan Jam'iyah Rusyidiyah pada 1880 di Pulau Penyengat, Riau Indonesia, dan Jam'iyah Khairiah pada 1900 yang berkembang sehingga ke Jakarta pada Tahun 1905, seterusnya menjadi asas kepada penubuhan Sarekat Islam Indonesia. Kemudiannya penubuhan Muhammadiyyah dan Nahdatul Ulama yang akhirnya bergabung membentuk Masyumi pada Tahun 1945 di Jogjakarta.

Di Mesir, Jam'iyah Khairiyah Talabah al-Jawiyah telah ditubuhkan pada 1923 oleh murid Sheikh Ahmad al-Fathani seterusnya menyumbang kepada perkembangan Nasionalisme Melayu.

Di Kelantan, murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang terkenal iaitu, Tok Kenali telah menubuhkan Jam'iyah al-Asyriyyah di Kota Bharu pada 1920. Jam'iyah ini telah menjadi asas kepada penubuhan Jahbah Ulamak ad-Dinniah di Kelantan pada 1936.

Pada Tahun 1934, Syed Sheikh al-Hadi yang juga murid kepada Sheikh Ahmad al-Fathani telah menubuhkan kelab pembaca bagi Akhbar Saudara  pimpinannya yang diberi nama Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM) yang bertaraf nasional. PASPAM mempunyai cawangan di Gunung Semanggol, Perak yang mana setiausaha cawangan adalah Haji Ahmad Fuad Hassan yang merupakan pengasas dan YDP Agung PAS pertama.

Perkembangan berorganisasi Ulamak Tanah Melayu ini, tidak lain adalah untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dan Umat Islam daripada kekuasaan penjajah kuffar. Gerakan ini kemudiaannya diteruskan dan dipelopori oleh generasi pondok pada Tahun 1990an.

Hasilnya, lahirlah nama-nama besar dalam perjuangan gerakan Islam Tanah Melayu seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Sheikh Abu Bakar al-Baqir, Abdul Kadir Adabi, Abdul Rahim Kajai dan ramai lagi serta penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Setelah kekalahan Jepun, para Ulamak mengambil langkah menyokong PKMM yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin al-Helmy. Pada 1947, akibat daripada tekanan dan sekatan pengaruh agama dalam PKMM, Dr Burhanuddin telah menubuhkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) sebagai sayap agama PKMM.

Hasilnya, melalui MATA ini telah tertubuhnya Hizbul Muslimin pada awal Tahun 1948. Dasar yang dibawa oleh Hizbul Muslimin adalah "Islam semata-mata bagi mencapai kemerdekaan bangsa Melayu berdaulat..." sehinggakan mendapat tekanan oleh British. Akibat tekanan British telah melumpuhkan gerakan parti tersebut dan pimpinan utama mereka telah ditahan di bawah Ordinan Darurat 1948. Melihat kepada dasar perjuangan Ulamak Melayu dalam Hizbul Muslimin, jelaslah bahawa perjuang para ulamak tidak sesekali meninggalkan bangsa dalam perjuangan menegakkan Islam.

Rentetan daripada tekanan British, ahli-ahli Hizbul Muslimin seperti Haji Ahmad Fuad, Sheikh Abdullah Fahim, Haji Ahmad Maliki, Sulaiman Palestin dan ramai lagi telah mengambil pendirian untuk bergerak di bawah UMNO. Bahagian Agama UMNO yang ditubuhkan sejak 1946 telah diaktifkan semula.

Setelah tekanan dan pengharaman terhadap parti-parti berhaluan kiri oleh  British, Dr Burhanuddin al-Helmy dan penyokongnya memasuki UMNO dan bergerak di bawah pemuda UMNO. Maka ketika inilah bermula tekanan terhadap tuntutan merdeka oleh UMNO. Malah, slogan "Hidup Melayu" Pemuda UMNO telah ditukar kepada "Merdeka" pada Tahun 1951 atas desakan bekas ahli-ahli PKMM melalui Pemuda UMNO Kuala Pilah. Walau bagaimanapun, tindakan Pemuda UMNO menggunakan perkataan "Mereka" dikatakan tidak direstui oleh pimpinan tertinggi UMNO ketika itu.

Walau bagaimanapun, Bahagian Agama UMNO yang terdiri daripada para Ulamak Melayu ternyata tidak berpuas hati dengan pendirian Pimpinan UMNO terutama dalam hubungan UMNO dan British, dan beberapa perkara lain telah membawa kepada penubuhan satu parti lain yang menjadikan perjuangan Islam sebagai asas.

Pada 23 Ogos 1951, tertubuhnya parti berasaskan perjuang Islam dengan nama Parti Islam Se-Malaya (PAS) [kini dikenali Parti Islam Se-Malaysia] di dalam persidangan Ulamak yang dianjurkan oleh UMNO bertempat di Gunung Semanggol, Perak. Menariknya Yang Di-Pertua Agung PAS pertama adalah Hj Ahmad Fuad Hassan yang merupakan orang kuat Dato' Onn yang merupakan Presiden UMNO ketika itu. Manakala antara yang turut terlibat dalam mengasaskan PAS adalah Sheikh Abdullah Fahim (datuk kepada Abdullah Ahmad Badawi) dan anaknya Hj Ahmad Badawi (ayah kepada Abdullah Ahmad Badawi) yang keduanya merupakan Ulamak Besar Tanah Melayu ketika itu.

Ternyata, melihat kepada sejarah perjuangan para Ulamak Tanah Melayu, mereka tidak pernah memisahkan perjuangan bangsa dan agama dalam menuntut kemerdekaan dan mempertahankan kedaulatan Tanah Melayu dan Agama Islam khususnya.

@Ibnu Hazmi

Monday, 28 January 2019

DI MANA DAN KE MANA MELAYU


  • Sedikit perkongsian apabil diminta oleh bos untuk mengadakan program bedah buku bagi tujuan meningkatkan produktiviti dan pemikiran staf. Lalu aku mengambil saranan itu dengan memilih sebuah buku daripada Datuk Zaini Hassan iaitu CUIT "DILEMA MELAYU MODEN" dengan tajuk Melayu Bukan UMNO Lagi, Melayu Sudah Minoriti. Ya, sebuah buku yang menarik pembacaan bagi yang minat kepada politik dan ketuanan Melayu. Lalu aku namakan semula tajuk penulisan ini sebagai "Di Mana dan Ke Mana Melayu?"

Melayu Bukan UMNO Lagi, Melayu Sudah Minoriti di mulakan dengan kata-kata Mahathir Muhamad sempena Perhimpunan Pribumi Perkasa Negara.

"Orang Melayu sekarang tidak lagi boleh mempertahankan diri mereka sendiri. Jika mereka bertemu dan bercakap (untuk mempertahankan diri mereka) mereka akan dicop rasis."(Ahad, 22 Mac 2009)

Penulis (Zaini Hassan) menyatakan bahawa Orang Melayu hari ini lebih bahaya berbanding zaman British menakluk Negeri-Negeri Melayu melalui Malayan Union. Melayu pada zaman itu tidak dicop rasis sama ada oleh British mahupun bukan Melayu ketika itu, malah diakui mereka akan hak-hak Melayu sebagai penduduk asal orang Melayu. Malah setiap perjanjian di Tanah Melayu dibuat bersama Raja-Raja Melayu tanpa melibatkan kaum lain. Dan SEKARANG, Malaysia bukan lagi hak Melayu dan menjadi hak orang Malaysia sehingga berlaku tuntuan kesamarataan yang tidak munasabah walaupun telah dipersetujui bersama berpuluh tahun dahulu. Malah Melayu telahpun berpecah kepada beberapa kumpulan.

Penulis menyenaraikan Melayu telah berpecah kepada Melayu Liberal, Melayu Ulama, Melayu PKR, Melayu DAP, Melayu atas Pagar dan Melayu UMNO.

Melayu Liberal dikatakan Melayu yang telah hilang roh dan semangat Melayu. Mereka tidak peduli siapa sahaja memerintah negara asalkan konsep kesamarataan diadaptasikan tanpa melibatkan kaum. Kebanyakkan mereka ini lahir daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan meningkatkan taraf hidup Melayu.

Manakala Melayu Ulama dinisbahkan kepada Parti Islam Semalaysia (PAS)  yang dikatakan menolak semangat kebangsaan. Kebangsaan hanya untuk Melayu bukan untuk Islam. Golongan ini dikatakan menolak UMNO kerana tidak berlandaskan Islam. Penulis juga mengatakan berlaku dua aliran PAS yang dipimpin oleh TG Nik Aziz dan TG Abdul Hadi.

Melayu PKR pula merupakan serpihan UMNO hasil daripada pemecatan Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu. Melayu PKR juga dikatakan menekankan prinsip kesamarataanseperti golongan liberal dan merupakan bukan perti berasakan kaum seperti PAS dan UMNO.

Melayu DAP pula merupakan golongan minoriti yang pada dasarnya hanya dilihat sebagai pak turuh pemimpin DAP.

Manakala Melayu atas pagar pula dilihat sebagai golongan penentu dalam setiap pemilihan. Golongan yang dilihat keliru dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik dikatakan tidak peduli akan apa yang berlaku asalkan dapat hidup seperti biasa. Golonagan yang bijak memerhati dan tidak banyak cakap dilihat penting untuk diberi perhatian bagi menjamin kemenangan pilihan raya.

Melayu terbesar adalah Melayu UMNO yang telah berpuluh tahun memerintah negara. Melayu UMNO dahulu dikatakan tinggi semangat Melayu dan jati dirinya. Mereka tidak tamak kuasa mahupun harta sehingga suara mereka dapat menyatupadukan Cina, India dan lain-lain kaum di Tanah Melayu. Manakala UMNO sekarang dilihat lebih mementingkan kuasa dan harta sehingga dilabel sebagai parti penuh rasuah.

Melihat kepada luahan hati penulis, amat wajar saya meletakkan tajuk dengan soalan Di Mana dan Ke Mana Melayu?. Ditambah dengan situasi politik yang kian mencabar, memperlihatkan kuasa Melayu semakin terumbang ambing dan berlaku kekeliruan dalam kalangan Melayu sendiri. 

Menjawab kepada persoalan Di Mana dan Ke Mana Melayu, suka saya membawa kita semua menerjah menelusuri Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas utama pembetukan Negara Malaysia. Kedudukan Perlembagaan Malaysia sebagai sumber perundangan dan pentadbiran nombor satu negara di atas Yang DiPertuan Agong seharusanya tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana manusia yang tinggal dan menetap di Malaysia sama ada bumiputera, bukan bumiputera mahupun orang asing yang datang ke tanah bertuah ini. Walau bagaimanapun, kelihatan makin ramai yang berani mempersoalkan kedudukan Perlembagaan ini atas nama hak asasi bagi memenuhi kehendak nafsu tanpa memikir akan keburukan mendatang.

Bercakap mengenai "Melayu" seharusnya kita perlu mengetahui apa itu Melayu. Melayu pada asasnya merujuk kepada mana-mana penduduk yang hidup di antara dua kepulauan terbesar dalam dunia asia iaitu China dan India dan lebih dikenali dengan Kepulauan Melayu. Walau bagaimanapun, dalam konteks Negara Malaysia, Orang Melayu telahpun dibuat penafsirannya melalui Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia iaitu orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu. 

Beberapa keistimewaan telah diberikan kepada bangsa Melayu sebagai Tuan Tanah dalam Perlembagaan Malaysia iaitu

  • Perkara 153 yang memberikan hak istimewa rakyat
  • Perkara 152 berkaitan kedudukan Bahasa Melayu
  • Perkara 8(5)(f) Rejimen Askar Melayu Diraja dengan pengecualian orang bukan Melayu
  • Perkara 89 Tanah Rezab orang Melayu 
Perkara ini dapat dilihat berdasarkan Tujuh wasiat Raja-Raja Melayu (persetujuan pembentukan perlembagaan persekutuan 5 Ogos 1957)

  1. Kami namakan dan kami panggil dia bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu.
  2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihr dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
  3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu, kami serta hak milik kamu, kami tubuhkan rejimen askar melayu selain untuk membeteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara ini.
  4. Kami kekalkan dan kami jamin jamin kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja melayu memerintah negara ini.
  5. Kami isytiharkan Islam adalah agama persekutuan.
  6. Kami tetapkan Bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu.
  7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkankepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa Orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Selain daripada Perlembagaan Malaysia dan 7 Wasiat Raja-Raja Melayu, pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum ini turut diikat dengan persetujuaan Kontrak Sosial yang menjadi asas Perlembagaan Tanah Melayu. Kontrak Sosial ini telah dipersetujui bersama oleh pemimpin kaum terbesar di Tanah Melayu pada waktu itu yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India. Dalam persetujuan Kontrak Sosial ini, terdapat 6 perkara sebagai syarat yang perlu dipersetujui antara Orang Melayu yang merupakan Tuan Tanah dengan Kaum Cina dan India yang merupakan golongan pendatang. 6 perkara tersebut adalah berkaitan:-

  1. Raja Berperlembagaan
  2.  Agama Islam
  3. Bahasa Melayu
  4.  Hak Istimewa Orang Melayu
  5. Kerakyatan (dikongsi dengan Orang Cina dan India)
Dalam hal ini, British telah menawarkan dua pilihan kepada orang Cina dan India jika mereka tidak bersetuju dengan "tawaran" yang diberikan untuk menjadi rakyat Tanah Melayu iaitu:-

  1. Pulang ke negara asal
  2. Berpindah ke negara Asia di bawah jajahan British
Dalam mengikat Kontrak Sosial tersebut, terdapat persetujuan bahawa pelanggarab mana-mana syarat tersebut akan membawa terbatalnya Kontrak Sosial dan orang Melayu mempunyai hak untuk mengeluarkan mereka daripada Tanah Melayu.

Sememangnnya, Tanah Melayu sebagai hak orang Melayu tidak boleh dipersoalkan sama sekali oleh sesiapa sahaja. Ini kerana, sesebuah negara itu diasaskan oleh bangsa asal yang menetap di kawasan tersebut. Perkara ini dapat dilihat melalui pembentukan Negara Arab yang merupakan negeri kepada bangsa Arab, Negara Eropah merupakan negeri orang Eropah, Negara Afrika merupakan negeri bagi orang Afrika. Begitu juga dengan Negara China dan India yang merupakan negeri bagi bangsa Cina dan India. Perkara ini jelas dengan Tanah Melayu atau Malaysia merupakan hak bangsa Melayu seperti mana Kepulauan Melayu itu sendiri yang diduduki oleh bangsa Melayu. Hakikat ini perlu diterima oleh bangsa lain yang ingin menetap di Tanah Melayu atau Malaysia tanpa sebarang persoalan.

Perpecahan yang menjadi polemik antara bangsa Melayu di Malaysia pula sebenarnya lebih kepada pegangan ideologi politik yang celaru dan was-was. Perkara yang sering menjadi perdebatan adalah sama ada perjuangan itu berdasarkan Nasionalisme – Melayu atau Islam? Pada asasnya, pertembungan dan perdebatan ideologi ini seharusnya tidak perlu timbul kerana hanya menampakkan kebodohan bangsa Melayu berpolitik. Sama ada perjuangan politik bangsa Melayu itu bedasarkan Nasionalisme-Melayu atau Islam sebenarnya adalah sama kerana jelas tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Melayu itu adalah Islam. jadi semestinya Islam di Malaysia itu adalah Melayu. Apa yang terpenting adalah pelaksanaan syariat dan kewajipan sebagai orang Melayu beragama Islam. Berkaitan sama ada ideologi Nasionalisme-Melayu atau Islam yang harus diutamakan, keduanya adalah merupakan suatu yang perlu diselarikan. Hal ini kerana, jika Melayu itu kuat dengan semangat Melayunya, nescaya Islam di Tanah Melayu akan kuat. Begitu juga jika Islam kuat, nescaya Melayu akan menjadi kuat. Begitu juga jika sebaliknya salah satu lemah, maka keduanya akan menjadi lemah - Kerana Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu -  Dalam konteks ini, penulis tertarik untuk memetik kata-kata tokoh pembaharuan Tanah Melayu yang juga merupakan tokoh besar Parti Islam Semalaysia (PAS).

“Dalam perjuang kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terus menerus memperjuangkan Melayu itu sebagai Kebangsaan bagi Tanah Melayu ini dengan bertapak asas ideologi Islam yang suci” – Dr. Burhaniddin al-Hilmy/30 Ogos 1960
Jika ditelusuri dalam konteks Sirah Nabawiyyah juga adalah sama. Lihat sahaja sirah pembukaan Kota Madinah sebagai negara Islam Pertama berperlembagaan. bagai mana Nabi SAW menyeiringkan perjuangan memartabatkan bangsa dan agama di Madinah. Selain membina masjid, Nabi telah mengambil pendekatan menyatupadukan Aus dan Khazraj, yakni bangsa Arab Madinah  (penduduk asal) yang berperang sama sendiri berpuluh tahun lamanya. Setelah itu, Baginda menyatukan pula Muhajirin dan Ansar. Baginda berjuang mengangkat martabat bangsa Arab Madinah dengan membela bangsa Arab daripada penindasan kaum pendatang Yahudi yang merupakan bangsa pendatang di Madinah. Dengan ketinggian martabat dan kekuatan yang terbina dalam kalangan bangsa Arab yang merupakan bangsa asal Madinah serta penyatuan bangsa yang dilakukan oleh Baginda SAW, telah memudahkan penyebarana Agama Islam di Madinah, malah turut tersebar ke seluruh pelosok dunia.

Hakikatnya, sama ada perjuangan bangsa atau agama, ia harus diselarikan agar terjalin kesepaduan dan kekuatan yang membawa kepada pembangunan peradaban kerana keduanya saling berkait. 

UNTUKMU MELAYU, Tun Dr. Mahathir Muhamad pernah berkata bahawa“Melayu mudah Lupa”. Manakala Hang Tuah berkata,“Takkan  Melayu hilang di dunia selagi berpaksikan ajaran Islam”.  Hakikatnya semua itu berada dalam diri kita bergelar MELAYU. Kita memilih jalan kita. Ke mana dan di mana kita adalah berdasarkan pilihan kita. Hancur bangsa, maka hilanglah agama, hilang agama, hancurlah bangsa. KERANA HAKIKAT BANGSA DAN AGAMA ITU MENGIKAT JATI DIRI KITA.

“Indahnya Melayu kerana Adat
Kuatnya Melayu kerana Sepakat
Terbilangnya Melayu kerana Islam Diangkat
Itulah Melayu Bangsa Keramat”

p/s Penulisan ini telahpun ditulis dalam paparan ini pada tahun 2017, tetapi baharu diterbitkan dengan editing lengkap.

ISLAM ERA MALAYSIA BAHARU

Firman Allah SWT: (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat.” (Surah al-Baqarah, 2: 138) 

Allah SWT membimbing hambaNya dengan iman dan menyucikan mereka daripada segala kekotoran dalam pemikiran dan amalan yang mengundang kebinasaan. Celupan pemikiran dan corak amalan yang terpesong daripada ajaran Islam adalah tertolak. Ia adalah celupan manusia yang palsu, mencerai-beraikan agama yang satu dan memecah-belahkan umat kepada puak-puak yang saling bertelagah.

Islam hadir sebagai petunjuk kepada sekalian alam dan mempunyai pelbagai keistimewaan dan rahmat untuk diraih oleh umatnya di dunia dan akhirat. Manakala agama-agama selain Islam termasuk agama samawi lain tidak akan diterima dan diredhai Allah atas penyimpangan yang telah berlaku terhadap agama-agama tersebut. Justeru, Islam yang diturunkan melalui utusan Nabi Muhammad SAW adalah pelengkap kepada kehidupan beragama bagi manusia dengan berbekalkan al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup sejahtera.

Firman Allah SWT: “Kami tidak mengutus engkau, wahai Muhammad, melainkan sebagai rahmat bagi seluruh manusia.” (Surah al-Anbiya’, 21: 107) 

Hakikat ini menunjukkan Islam bukanlah suatu ideologi dan falsafah, tetapi sebuah agama (Addin) yang lengkap, benar dan sesuai tanpa mengira zaman. Walau bagaimanupun, kebelakangan ini kita dapat saksikan betapa Islam telah diasak dari segenap sisi oleh golongan tertentu, baik di dalam negara Malaysia atau luar negara atas nama pembaharuan dan permodenan. Asakan ini dapat dilihat dengan wujudnya pelbagai gerakan dan pertubuhan yang mempelopori gerakan pembebasan kehidupan daripada nilai agama dengan menjadikan idea liberalisme dan sekularisme sebagai panduan dan matlamat kehidupan. Perkara ini sekaligus membawa kepada kebebasan mutlak tanpa keterikatan seseorang individu kepada nilai beragama dalam mencapai kemajuan. Lebih membimbangkan, gerakan ini dipelopori dan disokong oleh bijak pandai yang banyak memanipulasi kesucian al-Quran dan Islam itu sendiri.

Islam merupakan agama yang sempurna meliputi segenap aspek kehidupan sama ada dalam aspek sosial, ekonomi, politik mahupun sistem bermasyarakat dan bernegara. Gerakan ingin membebaskan nilai-nilai keagamaan dan moral dalam kehidupan adalah tidak relevan dan menidakkan kesucian dan kesempurnaan agama Islam itu sendiri. Apatah lagi dengan mengangkat idea-idea liberalisme dan sekularisme yang dipelopori oleh Barat, terutama dalam konteks negara Malaysia yang majoritinya masyarakat Melayu beragama Islam.

Pertembungan ideologi dan kefahaman yang semakin besar merambah dunia Islam ini jelas menampakkan ketakutan dan kekhawatiran dalam kalangan masyarakat Islam. Fenomena ini tidak terkecuali berlaku di Malaysia, terutama dalam hal yang berkaitan agama, baik meliputi bidang ekonomi, politik dan sebagainya, sama ada yang berasal dari Timur mahupun Barat. Apatah lagi dengan kewujudan pelbagai kumpulan seperti kelompok Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT), pluralisme agama, golongan faminisme dan atheis yang semakin galak menyuarakan hak sehingga berani bukan sahaja mempersoalkan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras budaya kehidupan bermasyarakat di Malaysia, bahkan turut mempertikaikan hukum-hakam agama dan Syariat Islam. Jelas sekali perkara ini tidak boleh dipandang ringan dan harus diteliti dengan baik oleh pelbagai pihak terutama kerajaan dalam menangani kebimbangan yang wujud, agar kemajuan yang dicapai selari dengan prinsip Islam serta perpaduan dapat dikekalkan tanpa sebarang pertembungan ideologi yang parah.



ISLAM DI ERA MALAYSIA BAHARU  

Umum mengetahui bahawa Islam telah bertapak berdekad lamanya di negara ini. Sesetengah pengkaji sejarah menyatakan bahawa kedatangan Islam ke bumi Melayu ini bermula sekitar abad ke-7 yang kemudiannya mengalami perkembangan yang intensif dan optimum sekitar abad ke-13. Perkara ini dapat dibuktikan melalui penemuan Batu Bersurat di Terengganu, di samping pembentukan Kerajaan Melayu Islam seperti di Melaka, Kedah dan Kelantan. Perkembangan Islam dan proses Islamisasi masyarakat di negara ini tidak pernah luntur, walaupun berada beratus tahun di bawah cengkaman kuasa penjajahan Barat. Malah ia terus berkembang selepas kemerdekaan negara dan pembentukan Kerajaan Persekutuan Malaysia. Perkara ini dapat dilihat melalui pelbagai dasar dan agenda pemerkasaan Islam yang telah dilakukan oleh Kerajaan Malaysia seperti DasarMuhibbah dan Meninggikan Syiar Islam di zaman Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Dasar Pembangunan dalam era Tun Abdul Razak, Dasar Perpaduan oleh Tun Hussein Onn, Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam oleh Tun Dr. Mahathir Muhammad, Pendekatan Islam Hadhari pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Pendekatan Wasatiyyah melalui Dasar Wasatiyyah Negara oleh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Malah kedudukan Islam jelas terjaga dan dipelihara dengan peruntukan khas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Peralihan tampuk pemerintahan negara melalui proses demokrasi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018 lalu telah membuka satu lembaran dan dimensi baru kepada perkembangan Islam di Malaysia. Perubahan tampuk pemerintahan daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membawa kepada terbentuknya suatu anjakan paradigma dengan istilah “Era Malaysia Baharu” oleh rakyat keseluruhan. Kerajaan Malaysia Baharu yang dipilih oleh rakyat ini bukanlah sekadar suatu pilihan yang bersifat retorik pertukaran kerajaan pemerintah, tetapi disandarkan dengan ribuan harapan agar kerajaan baharu PH ini dapat mereformasi dan melakukan pembaharuan (tajdid) terhadap sistem pentadbiran negara ke arah yang lebih bersih, cekap dan berintegriti (good governance). Anjakan ini turut meliputi hal berkaitan pengurusan dan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia.

Harapan yang ditanam oleh rakyat Malaysia yang majoritinya Melayu Islam kelihatan seakan bakal menjadi kenyataan apabila terdapat laporan akhbar Berita Harian memetik kenyataan YAB Perdana Menteri Malaysia ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu akan membawa perubahan kepada pentadbiran agama Islam di Malaysia. Perkara ini merupakan usaha bagi memperlihatkan kesungguhan dan komitmen kerajaan PH dalam memperkasa dan mengadakan pembaharuan dalam sistem pentadbiran negara terutama hal ehwal Islam. Dalam laporan akhbar tersebut juga, Tun Mahathir turut menyatakan bahawa alQuran merupakan panduan utama bagi umat Islam yang perlu difahami. Kegagalan memahami panduan tersebut tidak mungkin akan membawa kejayaan kepada umat Islam di Malaysia.

Penegasan YAB Perdana Menteri bahawa kemenangan PH tersebut akan membawa perubahan kepada pentadbiran Islam di Malaysia merupakan langkah bagi menutup segala persepsi berkaitan kedudukan Islam yang dimainkan sebelum dan selepas PRU-14. Perkara ini disusuli dengan pertemuan YAB Perdana Menteri bersama tokoh-tokoh ulama dan ilmuan Islam pada 31 Julai 2018 untuk mendapatkan pandangan dan input berkenaan pengurusan hal ehwal Islam dan isu-isu Islam semasa di negara ini. Di samping itu, Raja-Raja Melayu yang bersidang pada 10 Julai 2018, menjelang Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-249, telah berkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang dianggotai oleh lima orang tokoh, terdiri daripada pentadbir, agamawan dan ahli akademik, dalam usaha menambah baik semua institusi Islam peringkat Persekutuan di negara ini.

Selain daripada penegasan dan reaksi yang ditunjukkan oleh YAB Perdana Menteri, kerajaan melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengangkat suatu gagasan Rahmatan Lil Alamin sebagai falsafah baharu pentadbiran dan pengurusan Islam di Malaysia. Gagasan tersebut juga turut menzahirkan dua elemen penting yang perlu disertakan dalam kerangka Rahmatan Lil Alamin iaitu Maqasid Syariah dan Fiqh Malaysia (Fiqh Malizi). Tumpuan dan penekanan utama bagi menjayakan agenda tersebut adalah dalam aspek “menguruskan kepelbagaian secara terbuka” terutama dalam menyantuni masyarakat Islam dan bukan Islam. Keterbukaan ini termasuklah dalam memberi pandangan dengan melihat kepada khazanah ilmu dan kerangka fiqh yang lebih luas selagi tidak bercanggah dengan pensyariatan hukum Islam. Gagasan ini juga menekankan kepada pembentukan kerangka, cara dan gaya berfikir masyarakat Islam berlandaskan Maqasid al-Syariah terutama dalam hal berkaitan keinsanan dengan menjaga segala sifat kemanusiaan. Penekanan lain adalah kepada gerak kerja yang berasaskan “acuan Malaysia” dengan mengambil kira konteks semasa dan ummah di Malaysia. Dalam hal ini, penumpuan diberikan kepada pendefinisian Fiqh Manhaj Malizi dengan mengutamakan Fiqh Muwathonah iaitu Fiqh Kewarganegaraan yang akan menjadikan Malaysia sebagai model dan negara Islam contoh di dunia.

Penelitian terhadap tindakan dan langkah yang diambil kerajaan baharu ini, dari satu sisi menampakkan suatu usaha yang baik ke arah pembaharuan (tajdid) dan pembetulan (islah) untuk memartabatkan Islam sebagai sumber utama pentadbiran negara. Pada asasnya, pembaharuan sememangnya merupakan suatu keperluan dan sebahagian daripada inti ajaran Islam. Perlaksanaan tajdid adalah berpaksikan islah yang menjadi teras perjuangan para nabi:

“(Nabi Syu`aib berkata): … sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku dan tiadalah aku akan beroleh Taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.” (Surah Hud, 88: 11)

Ahmad al-Shalabi, seorang sejarawan muslim dalam bukunya bertajuk al-Mujtama’ al-Islami menyatakan bahawa, Islam yang berpandukan al-Qur'an berhasil membuat perubahan dan pembaharuan serta memperbaiki kerosakan sistem sosial daripada peringkat individu, keluarga dan masyarakat, bahkan di peringkat pentadbiran negara. Sepanjang sejarah perkembangan Islam sendiri telah muncul tokoh-tokoh dan gerakan islah dan tajdid yang menghadapi pelbagai cabaran membina kembali kerosakan sistem untuk kebaikan ummah. Antaranya adalah Khalifah Umar Abdul Aziz yang disepakati sebagai tokoh Mujaddid Muslim. Dalam dunia Melayu sendiri terdapat tokoh-tokoh yang mempelopori gerakan ini terutama dalam aspek pemikiran dan perlakuan seperti Syed Syeikh al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin yang muncul sekitar tahun 1920-an dan 1930-an, diikuti oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy dalam tahun 1950-an.

Dalam konteks Era Malaysia Baharu ini, kerajaan Pakatan Harapan dilihat cuba membawa pembaharuan dan perubahan bersifat inklusif dalam memahami konsep dan keterbukaan Islam serta pentadbirannya kepada masyarakat keseluruhan. Penekanan kepada Islam sebagai rahmat untuk sekalian alam dengan meletakkan ketinggian pada nilai keadilan dan toleransi sejajar dengan kehidupan masyarakat majmuk pelbagai agama dan bangsa di Malaysia.

Secara asasnya, Islam mengajar umatnya bersifat egalitarianism yang membawa kepada suatu kefahaman yang bersifat adil tanpa mengira warna kulit, status sosial dan mahupun bangsa dalam segenap hal kehidupan. Namun demikian, perlu diberi penegasan bahawa, konsep keadilan, toleransi dan keterbukaan yang ditunjukkan dalam Islam mestilah berlandaskan pegangan al-Quran dan Hadith bagi mencapai Maqasid Syariah tanpa melonggarkan pegangan akidah mahupun syariat itu sendiri. Ini kerana syariat tidak sepatutnya ditinggalkan walaupun untuk sementara semata-mata kerana mahukan kuasa dan harta. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesungguhnya di antara umatku akan ada sekelompok manusia yang mempelajari agama dan membaca al-Quran, berkata: “Marilah kita datangi para penguasa agar mendapatkan harta-harta mereka lalu kita menjauhi mereka dengan membawa agama kita.” Dan itu tak berguna sebagaimana pohon duri tidaklah akan menghasilkan kecuali duri. Begitu juga dekatnya dengan mereka tidaklah menghasilkan selain - Muhammad bin al-Sabbah berkata - dosa-dosa.” (Hadis riwayat Ibn Majah daripada Ibn Abbas r.a.)

Walau bagaimanapun, melihat kepada pembaharuan yang dibawa oleh kerajaan PH berkaitan “cara pandang” (paradigma) beragama terutama dalam memahami Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah dalam kalangan akademia dan agamawan Islam mencetuskan rasa bimbang dan cemas. Perkara ini, dapat dilihat dengan timbulnya pelbagai isu-isu berbangkit yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini. Malah, penyelesaiannya kurang disenangi kerana lebih memihak kepada golongan tertentu seperti golongan liberal, sekular dan anti Islam. Dalam pemikiran awam, rakyat melihat kerajaan hari ini lebih mengamalkan keterbukaan dan toleransi melampau kepada kelompok-kelompok tertentu tanpa mempedulikan sensitiviti dan kegelisahan umat Islam majoriti. Kemarahan masyarakat Islam Malaysia jelas terzahir melalui kritikan, komen dan respon dalam setiap isu berbangkit di media sosial. Kerajaan juga dilihat tunduk kepada desakan-desakan minoriti dalam sebahagiaan pelaksanaan hal ehwal Islam dalam negara. Perkara ini dapat dilihat melalui kenyataan-kenyataan Menteri dan pemimpin PH lain dalam hal berkaitan perundangan Syariah, LGBT, pesta arak, pendidikan tahfiz mahupun dalam hal dakwah dan pencegahan maksiat yang senada dengan pendirian golongan anti Islam dan liberal sekular.

Cara pandang agama seperti ini dibimbangi akan memberi kesan negatif kepada perkembangan Islam di Malaysia. Sudah pasti, akan ada golongan-golongan tertentu seperti golongan Islam liberal dan sekular serta pendakyah agama lain yang cuba mengambil kesempatan atas sikap toleransi, keterbukaan dan keadilan yang dibawa kerajaan hari ini atas nama hak asasi manusia dengan membelakangkan nilai-nilai agama, pensyariatannya dan budaya setempat. Apatah lagi kehidupan manusia semakin didorong oleh sifat individualistik yang sangat jelas menonjolkan hak individualitinya. Kehidupan beragama hanya diambil sebagai satu subjek ritualnya saja, dan agama hanya difahami dalam aspek individual belaka sepertimana yang dibawa oleh kumpulan Islam Liberal dan pendokong sekular. Oleh itu, kerajaan Malaysia Baharu harus berhati-hati serta meneliti dalam setiap sudut demi mempertahankan Islam sebagai agama negara. Gagasan Rahmatan Lil Alamin bersandarkan Maqasid Syariah dan Fiqh Malizi harus menjadi benteng mempertahankan Islam dan manifestasi Malaysia sebagai negara Islam, bukan sekadar tindakan populis. Dibimbangi, sikap toleransi dan keterbukaan yang melampau ini menjadikan Gagasan Rahmatan Lil Alamin sebagai Rahmatan Lil Kafirin wal Bathilmanakala maruah Islam dan umatnya tergadai di bumi sendiri.

Kerajaan harus menginsafi kembali kepada tujuan sebenar kekuasaan yang dianjurkan Islam. Kuasa yang ada bukannya untuk tunduk kepada desakan minoriti, tetapi haruslah digunakan untuk mempertahankan kesucian Islam.

Kata Qatadah: “Nabi s.a.w. menyedari bahawa Baginda tidak mempunyai kekuatan untuk memikul tugas ini (menegakkan agama) kecuali dengan kekuasaan. Maka baginda memohon kekuasaan yang menolong daripada Allah untuk membela Kitab Allah, batasan-batasan Allah, hal-hal yang difardukan Allah, dan untuk menegakkan agama Allah. Kekuasaan itu adalah rahmat daripada Allah yang Dia jadikan dalam kalangan hamba-hamba-Nya. Seandainya tidak ada kekuasaan ini, tentulah sebahagian daripada mereka menyerang sebahagian yang lainnya, dan yang terkuat di antara mereka akan memakan yang lemah daripada mereka.” (Tafsir Ibn Kathir Surah al-Isra’ ayat 80) 

Diriwayatkan daripada Umar r.a.: “Sesungguhnya Allah benar-benar mencegah (perbuatan dosa) melalui kekuasaan perkara-perkara yang tidak dapat dicegah melalui al-Qur’an."

Dalam menjelaskan tentang riwayat ini, Imam Ibn Kathir menyatakan: “Dengan kata lain, dapat disebutkan bahawa kekuasaan (pemerintahan) dapat mencegah banyak perbuatan keji dan dosa-dosa yang tidak dapat dicegah melalui al-Qur'an dalam kalangan orang ramai, serta memberi peringatan dan ancaman yang keras kepada orang-orang yang menyanggahinya. Sememangnya begitulah kenyataannya.” (Tafsir Ibn Kathir Surah al-Isra’ ayat 80)


ANALISIS ISU SEMASA ISLAM ERA MALAYSIA BAHARU PASCA PRU-14

Kemenangan pakatan Harapan dalam PRU-14 disusuli dengan pelbagai isu yang menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat di pelbagai peringkat. Ia bermula dengan isu kelewatan dalam pelantikan Jemaah Menteri, diikuti dengan pelantikan Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara dalam kalangan orang bukan Islam, serta penggunaan bahasa selain Bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan oleh Menteri Kewangan. Kemudian muncul pula perdebatan berkaitan kegagalan melaksanakan Manifesto Pilihan Raya Pakatan Harapan yang membawa kepada kenyataan “manifesto bukan kitab suci yang wajib dipatuhi” oleh Perdana Menteri Malaysia. Tidak lupa juga polemik antarabangsa melibatkan penarikan tentera Malaysia dari Arab Saudi dalam konflik Asia Barat. Pasca PRU-14 seolah membuka suatu medan polemik agama, bangsa dan bahasa yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan baharu hari ini.

Fokus utama penulisan ini adalah berkaitan dengan isu semasa Islam dalam negara pasca PRU-14. Ini kerana isu-isu tersebut telah mencetuskan kekecohan dan menjadi suatu fitnah terhadap agama dan umat Islam. Antara isu-isu berbangkit mengenai Islam dalam Era Malaysia Baharu adalah berkaitan dengan Islam dan kedudukannya di Malaysia.

Kedudukan agama Islam di Malaysia adalah jelas terjamin di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan, malah turut melibatkan Institusi Majlis Raja-Raja Melayu. Hal ini menunjukkan betapa kukuh dan tingginya kedudukan Islam di Malaysia. Walau bagaimanapun, isu berkaitan Islam dan kedudukannya seringkali dibangkitkan dan dijadikan subjek perdebatan dalam arena politik negara. Menjelang PRU-14, polemik ini semakin tegang dengan penularan berita-berita yang boleh menjejaskan kedudukan Islam dalam negara seperti gerakan kristianisasi, gerakan Islam Liberal dan sekular serta beberapa isu lain. Selain itu, kebimbangan berkaitan kedudukan Islam juga kelihatan terancam dengan timbulnya isu mempersoalkan kedudukan dan penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang merupakan badan penyelaras tertinggi Islam di Peringkat Persekutuan. Ini dapat dilihat dengan timbulnya kritikan dan cadangan penghapusan JAKIM oleh pemimpin dan pendokong Pakatan Harapan terutama daripada DAP seperti Zairil Khir Johari, Lim Kit Siang, Sarajun Hoda Hassan (bekas Timbalan Pengerusi BERSIH), Siti Zabedah Kasim (Aktivis) serta Datuk Noor Farida Ariffin daripada G25. Selain mempersoalkan kedudukan JAKIM, gerakan menggugat kedudukan Institusi Beraja dan Yang Di-Pertuan Agong yang merupakan Ketua Agama Islam Malaysia giat dijalankan dengan mencetuskan fitnah dan propaganda yang menibulkan fitnah kepada Institusi berkenaan. Ditambah pula dengan pelantikan Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara dalam kalangan non Muslim yang dikatakan akan menggugat kedudukan dan kepentingan Melayu-Islam. Apatah lagi rekod individu tersebut yang dilantik ke jawatan penting dalam negara ini dikatakan tidak memihak kepada pelaksanaan Islam di Malaysia dan dikatakan gagal mendapat persetujuan YDPA pada awalnya. Timbulnya isu-isu berbangkit yang menggugat Melayu-Islam pasca PRU-14 telah membawa kepada suatu “Himpunan Kebangkitan Ummah” oleh NGO-NGO Melayu-Islam bertempat di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru yang disertai oleh lebih 2,000 umat Islam dari seluruh negara.

Selain itu, penafsiran Hifz al-Din dan Toleransi Agama yang cuba dibawa oleh kerajaan Malaysia Baharu juga mendapat perhatian pelbagai kelompok masyarakat dalam negara. Polemik ini bermula apabila Menteri Agama, Dr. Mujahid Yusoftelah menafsirkan Hifz al-Din sebagai bukan sahaja menjaga agama Islam, tetapi menjaga semua agama berdasarkan konsep Rahmatan Lil Alamin dan toleransi dalam beragama dan berdakwah.

Di samping itu juga, timbul juga polemik berkaitan Tajassus dalam kes tangkapan khalwat oleh pihak berkuasa agama. Perkara ini timbul apabila YB Menteri Agama, Dr. Mujahid Yusof mengeluarkan kenyataan bahawa tiada lagi serbuan khalwat akan dibuat dalam era kerajaan baharu ini. Perkara ini, timbul dengan perdebatan antara ruang awam dan ruang peribadi yang menghadkan sesuatu tindakan kepada pihak berkuasa dan kebebasan kepada individu dalam ruangan peribadi mereka.

Selain daripada beberapa polemik tersebut, muncul juga polemik berkaitan tuntutun puak LGBT yang diberi layanan khas oleh pimpinan kerajaan, isu perkahwinan bawah umur dan beberapa isu lain yang dianggap menggugat kedudukan Islam di Malaysia.


PENUTUP

Dalam melakar kemajuan negara bangsa dan meraih perubahan sama ada dalam aspek sosial, ekonomi mahupun pentadbiran negara agar selari dengan tuntutan beragama, sudah pasti terdapat pelbagai cabaran perlu ditempuhi oleh kerajaan hari ini. Apatah lagi dengan perkembangan pelbagai ideologi pemikiran dan falsafah yang seiring dengan kemajuan teknologi massa serta pengaruh globalisasi dunia. Walau bagaimanapun, kehadiran Islam dan semangat keagamaan yang memartabatkan normanorma serta nilai-nilai beragama perlu terus dijaga agar kehidupan masyarakat selari dengan panduan dan ketetapan yang digariskan oleh Allah SWT.

Spektrum perubahan yang terdapat dalam masyarakat hari ini semakin dinamik. Ahli sosiologi seperti Auguste Comte dan Charles Darwin ada menyatakan bahawa “tidak ada manusia yang jumud (stagnant)” yang menunjukkan perubahan akan tetap berlaku. Namun perubahan yang diharapkan kadang-kala tidak selalunya mengarah kepada positif, ada ketikanya cenderung kepada negatif. Apatah lagi dalam sebuah era yang menghendaki hilangnya batasan-batasan di antara manusia dengan Tuhan yang membawa kepada kembalinya kejumudan dalam pemikiran dan pengembangan ajaran-ajaran Islam. Ditambah pula dengan persilangan ideologi dan paradigma dalam muatan globalisasi saat ini yang didominasi oleh peradaban Barat. Perselisihan antara Islam dengan Barat ini menjadi sebahagian yang mewarnai perubahan era globalisasi.

Islam harus mampu mencipta “Islamisasi Peradaban” dengan meraih kemajuan dalam pelbagai bidang ilmu kehidupan seperti yang telah tercatat dalam sejarah dunia. “Islamofobia” yang diciptakan Barat dengan wajah fundamentalis yang ekstrem perlu ditangani dengan baik. Kita tidak seharusnya tunduk kepada golongan tertentu atas nama toleransi dan keadilan, sehingga menampakkan kedudukan Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin terus ternoda menjadi Fitnatan Lil Alamin. Hak asasi manusiaharuslah menepati Syariat Islam. Atas asas itu, pembaharuan Islam, sama ada di zaman klasik mahupun moden hendaklah selaras dengan dua paksi utama iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah tanpa meninggalkan ijmak ulama dan qias. Dua paksi utama ini sememangnya tidak terbatas untuk suatu kaum tertentu atau kurun waktu sebagaimana kitab-kitab suci lain, malah ianya menjadi tonggak sebenar dalam membawa gagasan Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Fiqh Malizi. Usaha ini harus didokong oleh keseluruhan rakyat Malaysia. Dengan ini, keyakinan dan kewujudan Islam sebagai agama yang benar sehingga ke akhir zaman akan terus tertanam dalam benak masyarakat walaupun berada dalam era baharu dan mutakhir.


p/s: Artikel Penuh berkaitan penulisan ini merupakan hasil Kertas Kerja yang telah diterbitkan dalam Buku ISLAM ERA MALAYSIA BAHARU: Dinamika Wacana Kepelbagaian Cabaran sempena Konvensyen Nasional “Islam dan Era Malaysia Baharu”.