Keterlibatan para ulama dalam perjuangan membina negara bangsa Malaysia yang berdaulat tidak boleh dinafikan sama sekali. Begitu juga penafian yang mengatakan bahawa, hanya parti UMNO sahaja yang memperjuangkan bangsa dan kemerdekaan Tanah Melayu, manakala perjuangan para ulama dan agamawan Tanah Melayu hanya semata berkisar menegakkan syiar Islam dengan meletaktepikan perjuangan bangsa adalah retorik dalam penulisan sejarah. Tujuannya hanyalah untuk mengangkat suatu pihak dengan menidakkan pihak lain demi kepentingan kuasa dan politik.
Hakikatnya, perjuangan para Ulamak Tanah Melayu dalam menjaga kedaulatan dan kemerdekaan Tanah Melayu serta bangsa Melayu telah bermula sebelum penubuhan UMNO lagi.
Perjuangan ini bermula sejak Melaka ditakluki Portugis pada 24 Ogos Tahun 1511. Melihat kepada kemerosotan tamadun dan kejatuhan kuasa politik orang Melayu Islam ke tangan kuasa kuffar setelah kejatuhan Melaka pada 1511, para Ulamak Melayu mula berusaha keras mempertahankan bumi Islam ini. Apatah lagi, disebalik kejatuhan Melaka, bermula kejatuhan negeri-negeri Melayu Utara kepada penjajah Siam seperti Pattani, Yala, Nara, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Para Ulamak Melayu yang merasa "terhutang budi" terhadap peranan Melaka dalam menyebarkan Islam di Tanah Melayu, mula bangkit atas nama agama dengan melancarkan siri serangan jihad. Antaranya adalah daripada tentera jihad dari Demak, Acheh, Riau, Naning dan Johor berusaha menghalang Portugis dari bumi Melaka.
Begitu juga jihad mempertahankan bumi Melayu lain seperti di Pattani, Pahang dan sebagainya. Disebalik perjuangan jihad mempertahankan bumi Melayu ini, peranan yang dimainkan oleh para Ulamak amatlah besar. Para Ulamak tidak hanya berada di pondok-pondok, bahkan mereka berada di istana dan memegang jawatan penting termasuklah jawatan Wizarah al-Harb (Menteri Pertahanan). Antara Ulamak Melayu yang memainkan peranan ini adalah Tok Bendang Daya Tua atau Wan Mustafa al-Fathani yang merupakan Panglima Perang Pattani.
Pada Tahun 1870an, perjuangan kemerdekaan negera dan perjuangan mempertahankan kesucian Islam di Tanah Melayu telah berubah daripada bentuk jihad al-harbiyah (jihad perangan/ ketenteraan) kepada jihad organisasi kerana keadaan umat Islam ketika itu tidak mempunyai kekuatan yang cukup terutama setelah penjajahan British mula menguasai istana.
Bermulanya gerakan berorganisasi di Tanah Melayu adalah melalui gerakan yang berpusat di Makkah melalui sokongan Khalifah Uthmaniyyah di Istanbul. Melalui gerakan berorganisasi inilah, politik Islam mula dibina dengan perbagai saluran termasuk media massa dengan menerbitkan majalah atau surat khabar seperti al-Imam, Neracha dan al-Ikhwan.
Ulama Melayu pertama yang membentuk gerakan berorganisasi ini adalah Sheikh Ahmad bin Mohammad Zain al-Fathani (Sheikh Ahmad al-Fathani) melalui penubuhan Jam'iyah al-Fathaniyah di Mekkah pada Tahun 1873.
Kemudian Raja Ali Kelana yang merupakan murid kepada Sheikh Ahmad al-Fathani telah menubuhkan Jam'iyah Rusyidiyah pada 1880 di Pulau Penyengat, Riau Indonesia, dan Jam'iyah Khairiah pada 1900 yang berkembang sehingga ke Jakarta pada Tahun 1905, seterusnya menjadi asas kepada penubuhan Sarekat Islam Indonesia. Kemudiannya penubuhan Muhammadiyyah dan Nahdatul Ulama yang akhirnya bergabung membentuk Masyumi pada Tahun 1945 di Jogjakarta.
Di Mesir, Jam'iyah Khairiyah Talabah al-Jawiyah telah ditubuhkan pada 1923 oleh murid Sheikh Ahmad al-Fathani seterusnya menyumbang kepada perkembangan Nasionalisme Melayu.
Di Kelantan, murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang terkenal iaitu, Tok Kenali telah menubuhkan Jam'iyah al-Asyriyyah di Kota Bharu pada 1920. Jam'iyah ini telah menjadi asas kepada penubuhan Jahbah Ulamak ad-Dinniah di Kelantan pada 1936.
Pada Tahun 1934, Syed Sheikh al-Hadi yang juga murid kepada Sheikh Ahmad al-Fathani telah menubuhkan kelab pembaca bagi Akhbar Saudara pimpinannya yang diberi nama Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM) yang bertaraf nasional. PASPAM mempunyai cawangan di Gunung Semanggol, Perak yang mana setiausaha cawangan adalah Haji Ahmad Fuad Hassan yang merupakan pengasas dan YDP Agung PAS pertama.
Perkembangan berorganisasi Ulamak Tanah Melayu ini, tidak lain adalah untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dan Umat Islam daripada kekuasaan penjajah kuffar. Gerakan ini kemudiaannya diteruskan dan dipelopori oleh generasi pondok pada Tahun 1990an.
Hasilnya, lahirlah nama-nama besar dalam perjuangan gerakan Islam Tanah Melayu seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Sheikh Abu Bakar al-Baqir, Abdul Kadir Adabi, Abdul Rahim Kajai dan ramai lagi serta penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
Setelah kekalahan Jepun, para Ulamak mengambil langkah menyokong PKMM yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin al-Helmy. Pada 1947, akibat daripada tekanan dan sekatan pengaruh agama dalam PKMM, Dr Burhanuddin telah menubuhkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) sebagai sayap agama PKMM.
Hasilnya, melalui MATA ini telah tertubuhnya Hizbul Muslimin pada awal Tahun 1948. Dasar yang dibawa oleh Hizbul Muslimin adalah "Islam semata-mata bagi mencapai kemerdekaan bangsa Melayu berdaulat..." sehinggakan mendapat tekanan oleh British. Akibat tekanan British telah melumpuhkan gerakan parti tersebut dan pimpinan utama mereka telah ditahan di bawah Ordinan Darurat 1948. Melihat kepada dasar perjuangan Ulamak Melayu dalam Hizbul Muslimin, jelaslah bahawa perjuang para ulamak tidak sesekali meninggalkan bangsa dalam perjuangan menegakkan Islam.
Rentetan daripada tekanan British, ahli-ahli Hizbul Muslimin seperti Haji Ahmad Fuad, Sheikh Abdullah Fahim, Haji Ahmad Maliki, Sulaiman Palestin dan ramai lagi telah mengambil pendirian untuk bergerak di bawah UMNO. Bahagian Agama UMNO yang ditubuhkan sejak 1946 telah diaktifkan semula.
Setelah tekanan dan pengharaman terhadap parti-parti berhaluan kiri oleh British, Dr Burhanuddin al-Helmy dan penyokongnya memasuki UMNO dan bergerak di bawah pemuda UMNO. Maka ketika inilah bermula tekanan terhadap tuntutan merdeka oleh UMNO. Malah, slogan "Hidup Melayu" Pemuda UMNO telah ditukar kepada "Merdeka" pada Tahun 1951 atas desakan bekas ahli-ahli PKMM melalui Pemuda UMNO Kuala Pilah. Walau bagaimanapun, tindakan Pemuda UMNO menggunakan perkataan "Mereka" dikatakan tidak direstui oleh pimpinan tertinggi UMNO ketika itu.
Walau bagaimanapun, Bahagian Agama UMNO yang terdiri daripada para Ulamak Melayu ternyata tidak berpuas hati dengan pendirian Pimpinan UMNO terutama dalam hubungan UMNO dan British, dan beberapa perkara lain telah membawa kepada penubuhan satu parti lain yang menjadikan perjuangan Islam sebagai asas.
Pada 23 Ogos 1951, tertubuhnya parti berasaskan perjuang Islam dengan nama Parti Islam Se-Malaya (PAS) [kini dikenali Parti Islam Se-Malaysia] di dalam persidangan Ulamak yang dianjurkan oleh UMNO bertempat di Gunung Semanggol, Perak. Menariknya Yang Di-Pertua Agung PAS pertama adalah Hj Ahmad Fuad Hassan yang merupakan orang kuat Dato' Onn yang merupakan Presiden UMNO ketika itu. Manakala antara yang turut terlibat dalam mengasaskan PAS adalah Sheikh Abdullah Fahim (datuk kepada Abdullah Ahmad Badawi) dan anaknya Hj Ahmad Badawi (ayah kepada Abdullah Ahmad Badawi) yang keduanya merupakan Ulamak Besar Tanah Melayu ketika itu.
Ternyata, melihat kepada sejarah perjuangan para Ulamak Tanah Melayu, mereka tidak pernah memisahkan perjuangan bangsa dan agama dalam menuntut kemerdekaan dan mempertahankan kedaulatan Tanah Melayu dan Agama Islam khususnya.
@Ibnu Hazmi
No comments:
Post a Comment