Monday, 28 January 2019

ISLAM ERA MALAYSIA BAHARU

Firman Allah SWT: (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat.” (Surah al-Baqarah, 2: 138) 

Allah SWT membimbing hambaNya dengan iman dan menyucikan mereka daripada segala kekotoran dalam pemikiran dan amalan yang mengundang kebinasaan. Celupan pemikiran dan corak amalan yang terpesong daripada ajaran Islam adalah tertolak. Ia adalah celupan manusia yang palsu, mencerai-beraikan agama yang satu dan memecah-belahkan umat kepada puak-puak yang saling bertelagah.

Islam hadir sebagai petunjuk kepada sekalian alam dan mempunyai pelbagai keistimewaan dan rahmat untuk diraih oleh umatnya di dunia dan akhirat. Manakala agama-agama selain Islam termasuk agama samawi lain tidak akan diterima dan diredhai Allah atas penyimpangan yang telah berlaku terhadap agama-agama tersebut. Justeru, Islam yang diturunkan melalui utusan Nabi Muhammad SAW adalah pelengkap kepada kehidupan beragama bagi manusia dengan berbekalkan al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup sejahtera.

Firman Allah SWT: “Kami tidak mengutus engkau, wahai Muhammad, melainkan sebagai rahmat bagi seluruh manusia.” (Surah al-Anbiya’, 21: 107) 

Hakikat ini menunjukkan Islam bukanlah suatu ideologi dan falsafah, tetapi sebuah agama (Addin) yang lengkap, benar dan sesuai tanpa mengira zaman. Walau bagaimanupun, kebelakangan ini kita dapat saksikan betapa Islam telah diasak dari segenap sisi oleh golongan tertentu, baik di dalam negara Malaysia atau luar negara atas nama pembaharuan dan permodenan. Asakan ini dapat dilihat dengan wujudnya pelbagai gerakan dan pertubuhan yang mempelopori gerakan pembebasan kehidupan daripada nilai agama dengan menjadikan idea liberalisme dan sekularisme sebagai panduan dan matlamat kehidupan. Perkara ini sekaligus membawa kepada kebebasan mutlak tanpa keterikatan seseorang individu kepada nilai beragama dalam mencapai kemajuan. Lebih membimbangkan, gerakan ini dipelopori dan disokong oleh bijak pandai yang banyak memanipulasi kesucian al-Quran dan Islam itu sendiri.

Islam merupakan agama yang sempurna meliputi segenap aspek kehidupan sama ada dalam aspek sosial, ekonomi, politik mahupun sistem bermasyarakat dan bernegara. Gerakan ingin membebaskan nilai-nilai keagamaan dan moral dalam kehidupan adalah tidak relevan dan menidakkan kesucian dan kesempurnaan agama Islam itu sendiri. Apatah lagi dengan mengangkat idea-idea liberalisme dan sekularisme yang dipelopori oleh Barat, terutama dalam konteks negara Malaysia yang majoritinya masyarakat Melayu beragama Islam.

Pertembungan ideologi dan kefahaman yang semakin besar merambah dunia Islam ini jelas menampakkan ketakutan dan kekhawatiran dalam kalangan masyarakat Islam. Fenomena ini tidak terkecuali berlaku di Malaysia, terutama dalam hal yang berkaitan agama, baik meliputi bidang ekonomi, politik dan sebagainya, sama ada yang berasal dari Timur mahupun Barat. Apatah lagi dengan kewujudan pelbagai kumpulan seperti kelompok Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT), pluralisme agama, golongan faminisme dan atheis yang semakin galak menyuarakan hak sehingga berani bukan sahaja mempersoalkan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras budaya kehidupan bermasyarakat di Malaysia, bahkan turut mempertikaikan hukum-hakam agama dan Syariat Islam. Jelas sekali perkara ini tidak boleh dipandang ringan dan harus diteliti dengan baik oleh pelbagai pihak terutama kerajaan dalam menangani kebimbangan yang wujud, agar kemajuan yang dicapai selari dengan prinsip Islam serta perpaduan dapat dikekalkan tanpa sebarang pertembungan ideologi yang parah.



ISLAM DI ERA MALAYSIA BAHARU  

Umum mengetahui bahawa Islam telah bertapak berdekad lamanya di negara ini. Sesetengah pengkaji sejarah menyatakan bahawa kedatangan Islam ke bumi Melayu ini bermula sekitar abad ke-7 yang kemudiannya mengalami perkembangan yang intensif dan optimum sekitar abad ke-13. Perkara ini dapat dibuktikan melalui penemuan Batu Bersurat di Terengganu, di samping pembentukan Kerajaan Melayu Islam seperti di Melaka, Kedah dan Kelantan. Perkembangan Islam dan proses Islamisasi masyarakat di negara ini tidak pernah luntur, walaupun berada beratus tahun di bawah cengkaman kuasa penjajahan Barat. Malah ia terus berkembang selepas kemerdekaan negara dan pembentukan Kerajaan Persekutuan Malaysia. Perkara ini dapat dilihat melalui pelbagai dasar dan agenda pemerkasaan Islam yang telah dilakukan oleh Kerajaan Malaysia seperti DasarMuhibbah dan Meninggikan Syiar Islam di zaman Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Dasar Pembangunan dalam era Tun Abdul Razak, Dasar Perpaduan oleh Tun Hussein Onn, Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam oleh Tun Dr. Mahathir Muhammad, Pendekatan Islam Hadhari pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Pendekatan Wasatiyyah melalui Dasar Wasatiyyah Negara oleh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Malah kedudukan Islam jelas terjaga dan dipelihara dengan peruntukan khas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Peralihan tampuk pemerintahan negara melalui proses demokrasi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018 lalu telah membuka satu lembaran dan dimensi baru kepada perkembangan Islam di Malaysia. Perubahan tampuk pemerintahan daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membawa kepada terbentuknya suatu anjakan paradigma dengan istilah “Era Malaysia Baharu” oleh rakyat keseluruhan. Kerajaan Malaysia Baharu yang dipilih oleh rakyat ini bukanlah sekadar suatu pilihan yang bersifat retorik pertukaran kerajaan pemerintah, tetapi disandarkan dengan ribuan harapan agar kerajaan baharu PH ini dapat mereformasi dan melakukan pembaharuan (tajdid) terhadap sistem pentadbiran negara ke arah yang lebih bersih, cekap dan berintegriti (good governance). Anjakan ini turut meliputi hal berkaitan pengurusan dan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia.

Harapan yang ditanam oleh rakyat Malaysia yang majoritinya Melayu Islam kelihatan seakan bakal menjadi kenyataan apabila terdapat laporan akhbar Berita Harian memetik kenyataan YAB Perdana Menteri Malaysia ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu akan membawa perubahan kepada pentadbiran agama Islam di Malaysia. Perkara ini merupakan usaha bagi memperlihatkan kesungguhan dan komitmen kerajaan PH dalam memperkasa dan mengadakan pembaharuan dalam sistem pentadbiran negara terutama hal ehwal Islam. Dalam laporan akhbar tersebut juga, Tun Mahathir turut menyatakan bahawa alQuran merupakan panduan utama bagi umat Islam yang perlu difahami. Kegagalan memahami panduan tersebut tidak mungkin akan membawa kejayaan kepada umat Islam di Malaysia.

Penegasan YAB Perdana Menteri bahawa kemenangan PH tersebut akan membawa perubahan kepada pentadbiran Islam di Malaysia merupakan langkah bagi menutup segala persepsi berkaitan kedudukan Islam yang dimainkan sebelum dan selepas PRU-14. Perkara ini disusuli dengan pertemuan YAB Perdana Menteri bersama tokoh-tokoh ulama dan ilmuan Islam pada 31 Julai 2018 untuk mendapatkan pandangan dan input berkenaan pengurusan hal ehwal Islam dan isu-isu Islam semasa di negara ini. Di samping itu, Raja-Raja Melayu yang bersidang pada 10 Julai 2018, menjelang Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-249, telah berkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang dianggotai oleh lima orang tokoh, terdiri daripada pentadbir, agamawan dan ahli akademik, dalam usaha menambah baik semua institusi Islam peringkat Persekutuan di negara ini.

Selain daripada penegasan dan reaksi yang ditunjukkan oleh YAB Perdana Menteri, kerajaan melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengangkat suatu gagasan Rahmatan Lil Alamin sebagai falsafah baharu pentadbiran dan pengurusan Islam di Malaysia. Gagasan tersebut juga turut menzahirkan dua elemen penting yang perlu disertakan dalam kerangka Rahmatan Lil Alamin iaitu Maqasid Syariah dan Fiqh Malaysia (Fiqh Malizi). Tumpuan dan penekanan utama bagi menjayakan agenda tersebut adalah dalam aspek “menguruskan kepelbagaian secara terbuka” terutama dalam menyantuni masyarakat Islam dan bukan Islam. Keterbukaan ini termasuklah dalam memberi pandangan dengan melihat kepada khazanah ilmu dan kerangka fiqh yang lebih luas selagi tidak bercanggah dengan pensyariatan hukum Islam. Gagasan ini juga menekankan kepada pembentukan kerangka, cara dan gaya berfikir masyarakat Islam berlandaskan Maqasid al-Syariah terutama dalam hal berkaitan keinsanan dengan menjaga segala sifat kemanusiaan. Penekanan lain adalah kepada gerak kerja yang berasaskan “acuan Malaysia” dengan mengambil kira konteks semasa dan ummah di Malaysia. Dalam hal ini, penumpuan diberikan kepada pendefinisian Fiqh Manhaj Malizi dengan mengutamakan Fiqh Muwathonah iaitu Fiqh Kewarganegaraan yang akan menjadikan Malaysia sebagai model dan negara Islam contoh di dunia.

Penelitian terhadap tindakan dan langkah yang diambil kerajaan baharu ini, dari satu sisi menampakkan suatu usaha yang baik ke arah pembaharuan (tajdid) dan pembetulan (islah) untuk memartabatkan Islam sebagai sumber utama pentadbiran negara. Pada asasnya, pembaharuan sememangnya merupakan suatu keperluan dan sebahagian daripada inti ajaran Islam. Perlaksanaan tajdid adalah berpaksikan islah yang menjadi teras perjuangan para nabi:

“(Nabi Syu`aib berkata): … sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku dan tiadalah aku akan beroleh Taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.” (Surah Hud, 88: 11)

Ahmad al-Shalabi, seorang sejarawan muslim dalam bukunya bertajuk al-Mujtama’ al-Islami menyatakan bahawa, Islam yang berpandukan al-Qur'an berhasil membuat perubahan dan pembaharuan serta memperbaiki kerosakan sistem sosial daripada peringkat individu, keluarga dan masyarakat, bahkan di peringkat pentadbiran negara. Sepanjang sejarah perkembangan Islam sendiri telah muncul tokoh-tokoh dan gerakan islah dan tajdid yang menghadapi pelbagai cabaran membina kembali kerosakan sistem untuk kebaikan ummah. Antaranya adalah Khalifah Umar Abdul Aziz yang disepakati sebagai tokoh Mujaddid Muslim. Dalam dunia Melayu sendiri terdapat tokoh-tokoh yang mempelopori gerakan ini terutama dalam aspek pemikiran dan perlakuan seperti Syed Syeikh al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin yang muncul sekitar tahun 1920-an dan 1930-an, diikuti oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy dalam tahun 1950-an.

Dalam konteks Era Malaysia Baharu ini, kerajaan Pakatan Harapan dilihat cuba membawa pembaharuan dan perubahan bersifat inklusif dalam memahami konsep dan keterbukaan Islam serta pentadbirannya kepada masyarakat keseluruhan. Penekanan kepada Islam sebagai rahmat untuk sekalian alam dengan meletakkan ketinggian pada nilai keadilan dan toleransi sejajar dengan kehidupan masyarakat majmuk pelbagai agama dan bangsa di Malaysia.

Secara asasnya, Islam mengajar umatnya bersifat egalitarianism yang membawa kepada suatu kefahaman yang bersifat adil tanpa mengira warna kulit, status sosial dan mahupun bangsa dalam segenap hal kehidupan. Namun demikian, perlu diberi penegasan bahawa, konsep keadilan, toleransi dan keterbukaan yang ditunjukkan dalam Islam mestilah berlandaskan pegangan al-Quran dan Hadith bagi mencapai Maqasid Syariah tanpa melonggarkan pegangan akidah mahupun syariat itu sendiri. Ini kerana syariat tidak sepatutnya ditinggalkan walaupun untuk sementara semata-mata kerana mahukan kuasa dan harta. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesungguhnya di antara umatku akan ada sekelompok manusia yang mempelajari agama dan membaca al-Quran, berkata: “Marilah kita datangi para penguasa agar mendapatkan harta-harta mereka lalu kita menjauhi mereka dengan membawa agama kita.” Dan itu tak berguna sebagaimana pohon duri tidaklah akan menghasilkan kecuali duri. Begitu juga dekatnya dengan mereka tidaklah menghasilkan selain - Muhammad bin al-Sabbah berkata - dosa-dosa.” (Hadis riwayat Ibn Majah daripada Ibn Abbas r.a.)

Walau bagaimanapun, melihat kepada pembaharuan yang dibawa oleh kerajaan PH berkaitan “cara pandang” (paradigma) beragama terutama dalam memahami Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah dalam kalangan akademia dan agamawan Islam mencetuskan rasa bimbang dan cemas. Perkara ini, dapat dilihat dengan timbulnya pelbagai isu-isu berbangkit yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini. Malah, penyelesaiannya kurang disenangi kerana lebih memihak kepada golongan tertentu seperti golongan liberal, sekular dan anti Islam. Dalam pemikiran awam, rakyat melihat kerajaan hari ini lebih mengamalkan keterbukaan dan toleransi melampau kepada kelompok-kelompok tertentu tanpa mempedulikan sensitiviti dan kegelisahan umat Islam majoriti. Kemarahan masyarakat Islam Malaysia jelas terzahir melalui kritikan, komen dan respon dalam setiap isu berbangkit di media sosial. Kerajaan juga dilihat tunduk kepada desakan-desakan minoriti dalam sebahagiaan pelaksanaan hal ehwal Islam dalam negara. Perkara ini dapat dilihat melalui kenyataan-kenyataan Menteri dan pemimpin PH lain dalam hal berkaitan perundangan Syariah, LGBT, pesta arak, pendidikan tahfiz mahupun dalam hal dakwah dan pencegahan maksiat yang senada dengan pendirian golongan anti Islam dan liberal sekular.

Cara pandang agama seperti ini dibimbangi akan memberi kesan negatif kepada perkembangan Islam di Malaysia. Sudah pasti, akan ada golongan-golongan tertentu seperti golongan Islam liberal dan sekular serta pendakyah agama lain yang cuba mengambil kesempatan atas sikap toleransi, keterbukaan dan keadilan yang dibawa kerajaan hari ini atas nama hak asasi manusia dengan membelakangkan nilai-nilai agama, pensyariatannya dan budaya setempat. Apatah lagi kehidupan manusia semakin didorong oleh sifat individualistik yang sangat jelas menonjolkan hak individualitinya. Kehidupan beragama hanya diambil sebagai satu subjek ritualnya saja, dan agama hanya difahami dalam aspek individual belaka sepertimana yang dibawa oleh kumpulan Islam Liberal dan pendokong sekular. Oleh itu, kerajaan Malaysia Baharu harus berhati-hati serta meneliti dalam setiap sudut demi mempertahankan Islam sebagai agama negara. Gagasan Rahmatan Lil Alamin bersandarkan Maqasid Syariah dan Fiqh Malizi harus menjadi benteng mempertahankan Islam dan manifestasi Malaysia sebagai negara Islam, bukan sekadar tindakan populis. Dibimbangi, sikap toleransi dan keterbukaan yang melampau ini menjadikan Gagasan Rahmatan Lil Alamin sebagai Rahmatan Lil Kafirin wal Bathilmanakala maruah Islam dan umatnya tergadai di bumi sendiri.

Kerajaan harus menginsafi kembali kepada tujuan sebenar kekuasaan yang dianjurkan Islam. Kuasa yang ada bukannya untuk tunduk kepada desakan minoriti, tetapi haruslah digunakan untuk mempertahankan kesucian Islam.

Kata Qatadah: “Nabi s.a.w. menyedari bahawa Baginda tidak mempunyai kekuatan untuk memikul tugas ini (menegakkan agama) kecuali dengan kekuasaan. Maka baginda memohon kekuasaan yang menolong daripada Allah untuk membela Kitab Allah, batasan-batasan Allah, hal-hal yang difardukan Allah, dan untuk menegakkan agama Allah. Kekuasaan itu adalah rahmat daripada Allah yang Dia jadikan dalam kalangan hamba-hamba-Nya. Seandainya tidak ada kekuasaan ini, tentulah sebahagian daripada mereka menyerang sebahagian yang lainnya, dan yang terkuat di antara mereka akan memakan yang lemah daripada mereka.” (Tafsir Ibn Kathir Surah al-Isra’ ayat 80) 

Diriwayatkan daripada Umar r.a.: “Sesungguhnya Allah benar-benar mencegah (perbuatan dosa) melalui kekuasaan perkara-perkara yang tidak dapat dicegah melalui al-Qur’an."

Dalam menjelaskan tentang riwayat ini, Imam Ibn Kathir menyatakan: “Dengan kata lain, dapat disebutkan bahawa kekuasaan (pemerintahan) dapat mencegah banyak perbuatan keji dan dosa-dosa yang tidak dapat dicegah melalui al-Qur'an dalam kalangan orang ramai, serta memberi peringatan dan ancaman yang keras kepada orang-orang yang menyanggahinya. Sememangnya begitulah kenyataannya.” (Tafsir Ibn Kathir Surah al-Isra’ ayat 80)


ANALISIS ISU SEMASA ISLAM ERA MALAYSIA BAHARU PASCA PRU-14

Kemenangan pakatan Harapan dalam PRU-14 disusuli dengan pelbagai isu yang menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat di pelbagai peringkat. Ia bermula dengan isu kelewatan dalam pelantikan Jemaah Menteri, diikuti dengan pelantikan Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara dalam kalangan orang bukan Islam, serta penggunaan bahasa selain Bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan oleh Menteri Kewangan. Kemudian muncul pula perdebatan berkaitan kegagalan melaksanakan Manifesto Pilihan Raya Pakatan Harapan yang membawa kepada kenyataan “manifesto bukan kitab suci yang wajib dipatuhi” oleh Perdana Menteri Malaysia. Tidak lupa juga polemik antarabangsa melibatkan penarikan tentera Malaysia dari Arab Saudi dalam konflik Asia Barat. Pasca PRU-14 seolah membuka suatu medan polemik agama, bangsa dan bahasa yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan baharu hari ini.

Fokus utama penulisan ini adalah berkaitan dengan isu semasa Islam dalam negara pasca PRU-14. Ini kerana isu-isu tersebut telah mencetuskan kekecohan dan menjadi suatu fitnah terhadap agama dan umat Islam. Antara isu-isu berbangkit mengenai Islam dalam Era Malaysia Baharu adalah berkaitan dengan Islam dan kedudukannya di Malaysia.

Kedudukan agama Islam di Malaysia adalah jelas terjamin di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan, malah turut melibatkan Institusi Majlis Raja-Raja Melayu. Hal ini menunjukkan betapa kukuh dan tingginya kedudukan Islam di Malaysia. Walau bagaimanapun, isu berkaitan Islam dan kedudukannya seringkali dibangkitkan dan dijadikan subjek perdebatan dalam arena politik negara. Menjelang PRU-14, polemik ini semakin tegang dengan penularan berita-berita yang boleh menjejaskan kedudukan Islam dalam negara seperti gerakan kristianisasi, gerakan Islam Liberal dan sekular serta beberapa isu lain. Selain itu, kebimbangan berkaitan kedudukan Islam juga kelihatan terancam dengan timbulnya isu mempersoalkan kedudukan dan penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang merupakan badan penyelaras tertinggi Islam di Peringkat Persekutuan. Ini dapat dilihat dengan timbulnya kritikan dan cadangan penghapusan JAKIM oleh pemimpin dan pendokong Pakatan Harapan terutama daripada DAP seperti Zairil Khir Johari, Lim Kit Siang, Sarajun Hoda Hassan (bekas Timbalan Pengerusi BERSIH), Siti Zabedah Kasim (Aktivis) serta Datuk Noor Farida Ariffin daripada G25. Selain mempersoalkan kedudukan JAKIM, gerakan menggugat kedudukan Institusi Beraja dan Yang Di-Pertuan Agong yang merupakan Ketua Agama Islam Malaysia giat dijalankan dengan mencetuskan fitnah dan propaganda yang menibulkan fitnah kepada Institusi berkenaan. Ditambah pula dengan pelantikan Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara dalam kalangan non Muslim yang dikatakan akan menggugat kedudukan dan kepentingan Melayu-Islam. Apatah lagi rekod individu tersebut yang dilantik ke jawatan penting dalam negara ini dikatakan tidak memihak kepada pelaksanaan Islam di Malaysia dan dikatakan gagal mendapat persetujuan YDPA pada awalnya. Timbulnya isu-isu berbangkit yang menggugat Melayu-Islam pasca PRU-14 telah membawa kepada suatu “Himpunan Kebangkitan Ummah” oleh NGO-NGO Melayu-Islam bertempat di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru yang disertai oleh lebih 2,000 umat Islam dari seluruh negara.

Selain itu, penafsiran Hifz al-Din dan Toleransi Agama yang cuba dibawa oleh kerajaan Malaysia Baharu juga mendapat perhatian pelbagai kelompok masyarakat dalam negara. Polemik ini bermula apabila Menteri Agama, Dr. Mujahid Yusoftelah menafsirkan Hifz al-Din sebagai bukan sahaja menjaga agama Islam, tetapi menjaga semua agama berdasarkan konsep Rahmatan Lil Alamin dan toleransi dalam beragama dan berdakwah.

Di samping itu juga, timbul juga polemik berkaitan Tajassus dalam kes tangkapan khalwat oleh pihak berkuasa agama. Perkara ini timbul apabila YB Menteri Agama, Dr. Mujahid Yusof mengeluarkan kenyataan bahawa tiada lagi serbuan khalwat akan dibuat dalam era kerajaan baharu ini. Perkara ini, timbul dengan perdebatan antara ruang awam dan ruang peribadi yang menghadkan sesuatu tindakan kepada pihak berkuasa dan kebebasan kepada individu dalam ruangan peribadi mereka.

Selain daripada beberapa polemik tersebut, muncul juga polemik berkaitan tuntutun puak LGBT yang diberi layanan khas oleh pimpinan kerajaan, isu perkahwinan bawah umur dan beberapa isu lain yang dianggap menggugat kedudukan Islam di Malaysia.


PENUTUP

Dalam melakar kemajuan negara bangsa dan meraih perubahan sama ada dalam aspek sosial, ekonomi mahupun pentadbiran negara agar selari dengan tuntutan beragama, sudah pasti terdapat pelbagai cabaran perlu ditempuhi oleh kerajaan hari ini. Apatah lagi dengan perkembangan pelbagai ideologi pemikiran dan falsafah yang seiring dengan kemajuan teknologi massa serta pengaruh globalisasi dunia. Walau bagaimanapun, kehadiran Islam dan semangat keagamaan yang memartabatkan normanorma serta nilai-nilai beragama perlu terus dijaga agar kehidupan masyarakat selari dengan panduan dan ketetapan yang digariskan oleh Allah SWT.

Spektrum perubahan yang terdapat dalam masyarakat hari ini semakin dinamik. Ahli sosiologi seperti Auguste Comte dan Charles Darwin ada menyatakan bahawa “tidak ada manusia yang jumud (stagnant)” yang menunjukkan perubahan akan tetap berlaku. Namun perubahan yang diharapkan kadang-kala tidak selalunya mengarah kepada positif, ada ketikanya cenderung kepada negatif. Apatah lagi dalam sebuah era yang menghendaki hilangnya batasan-batasan di antara manusia dengan Tuhan yang membawa kepada kembalinya kejumudan dalam pemikiran dan pengembangan ajaran-ajaran Islam. Ditambah pula dengan persilangan ideologi dan paradigma dalam muatan globalisasi saat ini yang didominasi oleh peradaban Barat. Perselisihan antara Islam dengan Barat ini menjadi sebahagian yang mewarnai perubahan era globalisasi.

Islam harus mampu mencipta “Islamisasi Peradaban” dengan meraih kemajuan dalam pelbagai bidang ilmu kehidupan seperti yang telah tercatat dalam sejarah dunia. “Islamofobia” yang diciptakan Barat dengan wajah fundamentalis yang ekstrem perlu ditangani dengan baik. Kita tidak seharusnya tunduk kepada golongan tertentu atas nama toleransi dan keadilan, sehingga menampakkan kedudukan Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin terus ternoda menjadi Fitnatan Lil Alamin. Hak asasi manusiaharuslah menepati Syariat Islam. Atas asas itu, pembaharuan Islam, sama ada di zaman klasik mahupun moden hendaklah selaras dengan dua paksi utama iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah tanpa meninggalkan ijmak ulama dan qias. Dua paksi utama ini sememangnya tidak terbatas untuk suatu kaum tertentu atau kurun waktu sebagaimana kitab-kitab suci lain, malah ianya menjadi tonggak sebenar dalam membawa gagasan Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Fiqh Malizi. Usaha ini harus didokong oleh keseluruhan rakyat Malaysia. Dengan ini, keyakinan dan kewujudan Islam sebagai agama yang benar sehingga ke akhir zaman akan terus tertanam dalam benak masyarakat walaupun berada dalam era baharu dan mutakhir.


p/s: Artikel Penuh berkaitan penulisan ini merupakan hasil Kertas Kerja yang telah diterbitkan dalam Buku ISLAM ERA MALAYSIA BAHARU: Dinamika Wacana Kepelbagaian Cabaran sempena Konvensyen Nasional “Islam dan Era Malaysia Baharu”. 

No comments:

Post a Comment