Monday, 6 February 2017

KEINDAHAN AL-QURAN: ADAB DALAM BERDAKWAH

Ternyata Islam itu indah. Diajarnya tatacara kehidupan untuk diperaktikkan oleh sekalian manusia. Agar manusia hidup saling menghormati dan harmoni walau hakikat kejadian manusia suka kepada persenggetaan dan pertumpahan darah. Keindahan Islam itu akan dapat dirasai oleh orang yang sabar lagi dekat kepada Maha Pencipta.

Ternyata keindahan Islam itu terzahir dalam kehidupan manusia yang sukakan kedamaian. Kerana Islam itu Rahmat bagi sekalian alam. Lihat sahaja seruan dakwah Islam. Bukan melalui kekerasan mahupun paksaan. Sehinggakan Allah berfirman "untukmu agamamu, untukku agamaku". Dan disebabkan itulah, sejarah Islam melebarluaskan pengaruhnya dipanggil "Pembukaan" bukan "Penaklukan mahupun Penjajahan". Kerana Islam datang dengan seruan kedamaian tanpa sebarang paksaan.

Keindahan Islam itu terzahir dalam setiap perbuatan hambanya yang soleh dan bertakwa kerana golongan ini senantiasa memperbaiki setiap kelakuan mereka sesuai dengan syariat Islam. Dan setiap perbuatan dan kelakuan itu merupakan suatu dakwah yang boleh mengagumkan sesiapa sahaja yang melihatnya.

Tertarik dengan Firman Allah S.W.T dalam tiga ayat terakhir Surat An-Nahl. Ternyata Allah menyeru hambaNya agar senantiasa menunjukkan contoh tauladan dan bahasa yang baik serta menunjukkan kebijaksanaan dengan penuh hikmah dalam kehidupan terutama dalam berdakwah. Malah Allah S.W.T menyeru hambaNya untuk bersabar walau dalam keadaan dizalimi serta sentiasa bergantung harap kepadaNya.

Dan aku terfikir akan situasi yang melanda ummat manusia kebelakangan ini. Ternyata tiada lagi hikmah dan kebijaksanaan dalam menghadapi dugaan dan cabaran hidup. Tiada lagi contoh tauladan dan bahasa yang baik dalam kehidupan seharian. Dan lebih teruk, telah berkurang sifat-sifat ini dalam kalangan agamawan ketika berdakwah. Begitu juga dalam kalangan Politikus yang begitu "menggula" dengan laungan perjuangan untuk rakyat. Yang ada hanyalah kata-kata nista, tuduh-menuduh serta saling mempersalahkan antara satu sama lain.

Dan aku, aku terfikir akan diriku. Sejauhmanakah nilai Islam dalam diri ini. Sejauhmana usaha aku memperbaiki diri ini sesuai dengan kehendak agama. Atau aku hanya menjadi seorang yang pandai berkata-kata, menulis dan menilai orang lain berasaskan nilai Islam, tetapi diri sendiri jauh dengan tersasar di atas jalan kebenaran.

Dan kita. Bagaimana dengan kita semua? Marilah sama-sama kita hayati bait-bait al-Alquran surah An-Nahl agar menjadi pedoman hidup yang sempurna. Agar setiap perbuatan, amalan dan tutur kata kita menjadi asbab dakwah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." (An-Nahl:14:125)

"Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar."(An-Nahl:14:126)

"Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan."(An-Nahl:14:127)

"Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya."(An-Nahl:14:128)

No comments:

Post a Comment