Tuesday, 17 October 2017

MELAYU ISLAM BERPECAH, SIAPA UNTUNG?

Melihat kepada suasana politik, ekonomi dan sosial dewasa ini, amatlah celaru dan membimbangkan. Lebih membimbangkan apabila bangsa sendiri, Melayu Islam yang lupa diri dan masih dibuai mimpi.

Hari ini, semua kaum di Malaysia bersatu mempertahankan hak kaum masing-masing, sehinggakan perkara yang bukan hak mereka pun, mereka tuntut untuk dijadikan hak mereka. Tapi amat malang, Melayu Islam yang diberikan pelbagai hak keistimewaan makin tak sedar diri terutama dalam mempertahankan hak yang telah termaktub.

Lihat sahaja ekonomi Melayu Islam, semakin celaru dan mundur di takuk lama walaupun pelbagai bantuan dan polisi kerajaan dibuat untuk membantu ekonomi mereka. Dari Dasar Ekonomi Baru sehinggalah kepada Program Transformasi Ekonomi, pelbagai inisiatif diberi kerajaan sehingga ada dalam kalangan mereka terlalu bergantung kepada inisiatif tersebut. Ini berlaku tidak lain tidak bukan kerana Melayu Islam itu sendiri hanyut dalam segala keistimewaan yang dilimpahkan. Sehingga ada pula istilah 'miskin bandar'.

Lihat pula politik Melayu Islam, ketika ini sahaja berlaku perpecahan kepada lima kumpulan politik Melayu Islam. Belum lagi dikira kumpulan-kumpulan kecil politik dan golongan atas pagar. Semuanya dengan hal perjuangan dan ideologi masing-masing tanpa sebarang ruang untuk saling bertolak ansur dan menyokong satu sama lain. Kalau ada sedikit kesatuan, pasti akan ada Melayu Islam lain mengadu domba kearah perpecahan. Semuanya kerana kepentingan politik. Amat berbeza sekali dgn kumpulan politik kaum lain yang sering kali bersama menyokong bilamana melibatkan kepentingan kaum mereka. Mereka bersatu tanpa menghiraukan perbezaan ideologi politik.

Usah bercakap pasal ekonomi dan politik, pembinaan sistem sosial Melayu Islam pun makin celaru. Kalau dulu, sistem sosial Melayu Islam begitu teguh dengan permuafakatan, adat budaya dan agama, namun ia kini kearah kehancuran. Dihancur oleh bangsa sendiri. Usahkan sistem sosial yang besar, sistem kekeluargaan pun makin rosak dengan pelbagai gejala sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Belum lagi kes penceraian. Keruntuhan institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan ini tidak lain akibat keinginan dalam kebebasan melampau.

Lebih dasyat lagi yang dihadapi Melayu Islam adalah perbecahan dalam beragama. Perlembagaan Malaysia menyatakan Melayu itu adalah beragama Islam, tetapi sejauhmana Malayu itu Islam. Setelah perpecahan Melayu Syiah dan Sunni,  ada pula Wahabi, Atheis dan Liberal dalam beragama. Masing-masing bergaduh untuk menjuarai satu sama lain.

Seminggu dua ini pula, timbul pergeseran antara raja dan rakyat. Hanya kerana isu dobi muslim yang tidak sepatutnya menjadi isu besar, kini menjadi isu nasional. Pergeseran yang boleh membawa kepada malapetaka. Sehingga timbul isu murka, direman dan tauliah ditarik. Manakala penyokong masing-masing saling tunding menunding dengan pelbagai kata nista.

Lebih menarik hari ini, isu Malaysia Negara Islam dimainkan dalam portal MalaysiaKini. Pemuda Parti Gerakan menyanggah kata-kata Timbalan Menteri di JPM berkaitan Malaysia Negara Islam dan menyatakan bahawa itu bukan matlamat gabungan BN. Manakala MCA pula menyatakan sokongan atas tindakan yang diambil oleh tuanku sultan di sebuah negeri terhadap seorang ustaz. Tuanku Sultan yang dilihat sebagai benteng terakhir dalam menjaga kesucian dan martabat Islam mendapat sokongan oleh golongan bukan Islam atas tindakan dan keputusan baginda berkaitan Agama Islam. Begitu mendalam maknanya.

Lihat sahaja bagaimana hebat Melayu Islam berpecah, namun berapa ramai Melayu Islam yang sedar akan hakikat ini. Kalau dulu Melayu Islam begitu hebat dan angkuh dengan kuasa politiknya dalam menjaga setiap keistimewaan yang ada,  mampukah hakikat itu dapat dipertahankan? Atau ianya akan menjadi suatu catatan sejarah dalam peradaban dunia dikala kuasa politik Melayu Islam kian terhakis. Dikala itu, dimana Melayu Islam dan siapa yang berjaya mengaut setiap keuntungan itu?

Mereka telah sepakat,  Melayu Islam kian sesat.

No comments:

Post a Comment