Tidak dapat dipertikaikan bahawa Islam itu rahmat bagi sekalian alam. Ianya bukan semata suatu agama yang menjadi ikutan membuta tuli umat, tetapi hadir dengan pelbagai petunjuk untuk dijadikan panduan dan rujukan ummat manusia seluruhnya. Al-Quran Kalamullah bersama As-Sunnah Rasulullah menjadi petunjuk utama dalam Islam agar ianya menjadi rahmat sehingga hari akhirat.
Oleh itu, Islam tegas dalam menyatakan kepentingan perpaduan yang menjadi tuntutan dan seterusnya menolak sebarang perbuatan perpecahan selaras dengan konsep Rahmatan Lil A'lamminn. Perpaduan perlu dan amat ditekankan dalam memastikan perkembangan ketamadunan Islam dan dakwah.
Manhaj al-Islam menekankan perpaduan melalui konsep al-Jama'ah. Kesepakatan dalam berjemaah menjadi tunjang kepada sesebuah kejayaan apatah lagi dalam usaha membina suatu peradaban ketamadunan islam yang luhur. Kehidupan berjemaah itu menjadikan sesuatu bangsa atau kumpulan itu lebih kuat dan amat sukar diganggu gugat. Hal ini jelas dengan hadirnya nas-nas dan Hadith sahih dalam pelbagai kitab Hadith yang menjadi rujukan kita.
"Hendaklah kamu berada bersama jamaah, dan janganlah kamu berpecah (daripada jamaah)"-Riwayat al-Tqrmizi
"Jemaah itu membawa rahmat, dan perpecahan itu membawa azab" -(Riwayat Ahmad)
"Tiga golongan jangan ditanya tentang nasib mereka (kerana mereka daripada golongan binasa); orang berpisah daripada jamaah dan menderhaka kepada pemerintahnya lalu mati dalam keadaan derhaka"-(Riwayat Al-Hakim)
"Sesiapa yang ingin berada di tengah Syurga, maka hendaklah ia berada bersama jemaah"-(Riwayat Tirmizi)
Berdasarkan rangkaian Hadith di atas, amat jelas pentingnya perpaduan dan hidup berjamaah sehingga ia melibatkan kehidupan kita selapas mati. Ianya melibatkan untung rugi kehidupan kita di dunia wal akhirat.
Namun begitu, apabila dilihat dalam konteks situasi semasa, amat malang bagi kita apabila ramai yang gagal memahami maksud "berjamaah" sehingga timbul pelbagai polemik yang membawa kepada perpecahan. Sedangkan Jemaah Islamiyyah itu suatu penyatuan. Lihatlah kita hari ini, perpecahan akibat daripada ideologi politik dalam merebut kekuasaan, dan menjadi perdebatan seantero dunia mengenai isu Daesh, Wahabi dan ISIS. Setiap daripada mereka mengakui akan merekalah Jemaah al Islamiyyah yang mengikut panduan dan petunjuk al-Quran wal Sunnah. Lebih teruk lagi sehingga ada golongan yang mengaku tentera al Mahdi yang lantang memperjuangkan jihad atas nama fiisabiiLillah sehingga membunuh sesiapa sahaja yang tidak sependapat dengan fatwa mereka. Namun, amat malang apabila mereka gagal memahami elimen "perpaduan" dalam "berjemaah" akibat ketaksuban mereka dalam berjihad. Malah maksud "jihad" itu sendiri disalah ertikan. Malah peraturan-peraturan jihad yang digariskan dalam Islam diketepikan. Nabi S. A. W pernah bersabda bahawa tiada lagi jihad peperangan besar selepas pembukaan Kota mulia Makkah, dan jihad yang paling besar adalah jihad melawan hawa nafsu.
Dalam menyebarkan manhaj penyatuan al-Islamiyyah, individu mahupun jamaah perlu memahami akan konsep sebenar berjemaah. Begitu juga dalam konsep jihad. Islam menjadi panduan dan ia merupakan suatu cara hidup ummah. Islam hadir dengan pelbagai hukum dan ketetapan agar ummatnya hidup dalam keberkatan dan tidak tersasar daripada landasan fitrah. Maqasid as Syariah menjadi asas tujuan kepada ummat manusia dalam merangka halatuju kehidupan berlandaskn fitrah dan hukum syarak. Oleh itu, dalam konteks mengekalkan perpaduan, berjemaah dan berjihad, amat penting untuk kita memahami hukum-hukum yang boleh dan tidak boleh dikeluarkan oleh individu. Antaranya adalah hukum berjihad. Ianya telah dibincang secara meluas dalam ilmu Fiqh. Hukum ini tidak seharusnya dibuka dan diperdebatkan oleh individu kerana ianya termaktub dalam kekuasaan pemerintah. Jemaah pemerintah inilah yang bertanggungjawab dalam menfatwakan hal-hal berkaitan jihad dan seangkatan dengannya. Hal ini jelas dibincangkan dalam Fiqh Ulul Amri (Fiqh Berkaitan Pemerintahan) yang perlu diikuti agar perpaduan terus menyelimuti kehidupan kita.
Nabi S. A. W bersabda:
"sesiapa yang memisahkan diri daripada jamaah dan bertindak menyalahi ketaatan, mati ia seperti mati jahiliah".
"Sesiapa yang memisahkan diri daripada jamaah dan menghina Kerajaan, Ianya menemui Allah tanpa sebarang hujah yang dapat membela"-(Riwayat Ahmad)
"sesiapa yang melihat sesuatu yang tidak disukai daripada pemerintahnya, maka hendaklah ia bersabar, kerana sesiapa yang mengambil langkah berpisah daripada jamaah sekalipun sekadar sejangkal, kemudian dia mati, maka kematiannya itu seperti keadaan mati jahiliyyah"-(Riwayat Bukhari)
Al Imam At-Tabari menyatakan "maksud daripada hadis ini ialah dengan kumpulan umat islam yang berada dalam ketaatan pemerintah yang mereka sepakat melantiknya sebagai pemerintah"(Fathul Bari)
Al Imam Ibnu Hajar berkata, maksud mati jahiliah di sini ialah mati dalam keadaan sesat dan maksiat (Fathul Bari: 10/13).
Justeru, amat penting bagi kita untuk memahami setiap konsep yang dibawa atas manhaj al-Islamiyyah agar kita tidak terpesong dari dasarnya. Pentingnya kita untuk bersama-sama menebarkan manhaj perpaduan dalam segenab lapisan masyarakat dan menjadi keperluan bagi kita untuk tetap istiqamah dalam berjemaah seterusnya memberi taat setia kepada jamaah pemerintahan atas dasar perpaduan. Perlu bagi kita untuk mengelak daripada pertembungan dalam berjamaah hanya kerana permasalahan kecil dan perbezaan ideologi. Konsep musyawarah perlu diamalkan sebagai penyelesaian kepada setiap permasalahan yang timbul. Marilah sama-sama kita mengambil iktibar daripada peristiwa Arab Spring yang berlaku di Dunia Arab yang membawa kepada peperangan dan persengketaan berpanjangang sehingga ke hari ini. Arab Spring yang diilhamkan atas nama Jihad melawan pemerintah yang zalim itu terus menerus memberi permasalahan kepada rakyat sehingga membawa kepada peratusan kematian yang tinggi dan hampir setiap hari.
Allah S. W. T berfirman dalam surah Ali Imran
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya."(Tafsir al Jalalayn).
Ayat ini perlu dihayati bagi setiap individu dan jemaah agar kita tidak lari dari matlamat asal kehidupan kita.
-aku mencari titik pertemuan untuk suatu penyatuan-
Kalam al Fakir Ibnu al Hazmi Abbasi al Kalatani
No comments:
Post a Comment