Wednesday, 31 March 2021

ADAB: SUAMI DAN ISTERI TEMPAT BERMULANYA MANUSIA BERSIFAT INSANI

Terbaca satu posting FB bernama Puan Niza, akan hal berkaitan adab dengan suami dalam hal mengasingkan basuhan pakaian suami dan anak. 

Posting tersebut mendapat kutukan dan herdikan daripada netizen yang tidak bersetuju. Walhal perbahasan yg cuba dibawa oleh Puan tersebut adalah berkaitan adab si isteri terhadap suami. Tetapi serangan diberikan seolah Puan tersebut meletakkan hukum haram basuh pakaian suami bersekali dengan pakaian si anak.

Sebenarnya, apa yg dibicarakan oleh Puan Niza tersebut sememangnya menjadi suatu adab dan budaya dalam sesetengah masyarakat Melayu dahulu terutama dalam kalangan keluarga orang-orang alim. Malah perkara seperti ini dibahaskan dalam kitab-kitab lama berkaitan adab si isteri terhadap si suami.

Maka, tidak hairanlah jika kita lihat, ibu-ibu dahulu amat menghormati si suami, dan menjadi contoh ikutan bagi anak-anak dalam menghormati si ayah. Bukan sahaja dalam bab basuh pakaian, tetapi si suami dilayan sebagai raja dalam rumah, dikhaskan tempat duduk yang tidak akan diduduki oleh sesiapa terutama di tempat makan, malah diasingkan pinggan dan cawan. Dalam bab makan, si anak tidak akan dibenarkan makan selagi makanan yang disediakan tidak dijamah oleh sang suami/ayah.

Itulah tingginya penghormati si isteri kepada sang suami, yang menjadi raja dalam keluarga, sebagai ketua dalam segala hal termasuk menjaga maruah dan keselamatan keluarga. Penghormatan dan tanggugjawab kepada suami ini ditunjukkan dan diajar kepada anak-anak. Jika anda dibesarkan dalam keluarga tok-tok guru, adab dan penghormatan seperti ini adalah suatu kebiasaan.

 Maka tidak hairanlah anak-anak dahulu amat menghormati dan menyanjungi orang tua. Sejahat manapun orang dulu-dulu, mereka tetap meletakkan penghormatan dan adab sebagai keutamaan, dan sentiasa bertanggungjawab terhadap maruah dan keselamatan keluarga.

Itulah kehidupan keluarga Melayu dahulu kala. Si ayah sebagai lambang keberanian, menjadi pasak kepada keselamatan dan maruah keluarga. Manakala si ibu, menjadi lambang kepada ketatasusilaan, menjadi tempat si anak belajar adab dan tanggugjawab.

Kini, mungkin sesuai dengan arus moden yang meletakkan Barat sebagai role model kemajuan hidup, perkara sebegitu ditinggalkan, malah dicemuh.

Kehidupan orang dahulu yang sepatutnya menjadi contoh dalam pembinaan keluarga ditinggalkan. Anak-anak perempuan dipasakkan dalam fikiran bahawa "perempuan boleh hidup tanpa lelaki", sedangkan ianya bertentangan dengan fitrah manusiawi. Anak lelaki pula diajar mencari kekayaan untuk memiliki sesuatu termasuk dalam hal mencari isteri. "Kalau kamu ada duit, kamu boleh memiliki segalanya termasuk isteri yang kamu inginkan." Manakala ayah dan ibu, sibuk mencari kekayaan agar dapat memberi kesenangan kepada keluarga. Perkara seperti ini tidaklah menjadi suatu kesalahan, tetapi ia akan menjadi satu titik mula kerosakan institusi kekeluargaan jika tidak diterapkan adab dan penghormatan antara suami isteri di rumah.

Lihat sahaja kesannya, dek kerana kesibukan, ibu ayah bergaduh kerana tidak cukup wang, bergaduh kerana bil letrik dan sewa rumah. Lebih malang pergaduhan berlaku dihadapan si anak sehingga tidak bertegur sapa, dan dibawa ke meja makan.

Maka lahirlah anak yang kurang adab dan tak bertanggugjawab, mementingkan diri dan bersifat materialistik.

Mungkin akan ada alasan bahawa kesibukan bekerja yang menjadi tuntutan kedua ibu bapa, tidak seperti masyarakat dahulu. Perkara tersebut memang diakui, dan pendapat di atas bukanlah untuk menyatakan si isteri perlu menjadikan si suami sebagai raja di rumah setelah berpenat lelah membantu si suami bekerja di luar menampung keluarga. Hakikat perubahan zaman itu perlu diakui, dan tuntutan wanita untuk bekerja itu perlu diterima.

Tetapi, walau sesibuk manapun, si isteri perlu meletakkan penghormatan dan adab yang tertinggi dalam melayani suami. Manakala si suami, perlu lebih bertanggugjawab dan menghargai sang isteri sebagai keutamaan mencapai bahagia dalam keluarga.

Kembalikan peranan suami sebagai simbol keberanian dalam menjaga keselamatan dan maruah isteri dan keluarga, dan peranan isteri sebagai tempat mengajar adab dan ketatasusilaan dalam keluarga.

Penulisan panjang ini sebagai mengenengahkan pemikiran dan pandangan saya dalam hal membina institusi kekeluargaan dan masyarakat.

Sememangnya saya tidak berpuas hati dan bersetuju dengan kaedah yang digunakan kebanyakan masyarakat kita kini yang lebih kebaratan, sedangkan nilai tatasusila Melayu lebih berjaya melahirkan masyarakat berjiwa insani berbanding nilai kebaratan.

Siapa yang harus dipersalahkan atas kegagalan kehidupan bermasyarakat kita hari ini, sedangkan dalam institusi kekeluargaan pun kita gagal  menerapkan adab dan ketatasusilaan, bukan sahaja antara anak dan ibu bapa, malah antara suami dan isteri.

Kalau kita bercakap berkaitan kemajuan menyebabkan kita meninggalkan adab dan tatasusila yang diamalkan masyarakat kita dahulu, ketahuilah bahawa Tamadun Barat kini sedang mengalami kemerosotan dalam hal kemanusiaan dan hilang sifat insani dek kerana mengejar materialistik bersifat kapitalis.


p/s: Penulisan ini dibuat 24 Jun 2020 setelah membaca satu posting di FB. Penulisan asal ini dimuatnaik di ruangan status WhatsApp dan diterbitkan semua dalam ruangan blog ini untuk difikir dan dihayati bersama baik buruk dalam penulisan ini.