Tanggal 14 September 2019 menjadi titik bersejarah dalam politik Malaysia dengan termeterainya satu persefahaman Piagam Muafakat National antara dua parti politik Melayu Islam terbesar tanah air. Hakikatnya, persefahaman dua parti ini yang banyak berjasa memperjuangkan dan mengekalkan kemerdekaan negara hingga ke hari ini bukanlah kali pertama, kerana PAS dan UMNO pernah bersama membentuk pemerintahan negara atas nama Barisan Nasional pada 28 Disember 1972.
Namun, bagi setengah pengkaji, penyatuan PAS-UMNO setelah insiden Mei 1969 itu, bukanlah atas sokongan dan dokongan penuh akar umbi parti, tetapi hanya atas persefahaman dua pemimpin tertinggi mereka ketika itu, iaitu Datuk Asri Muda dan Tun Abdul Razak. Atas sebab itulah dikatakan punca penyatuan tersebut gagal bertahan lama. Oleh itu, persefahaman 914 kali ini menjadi suatu harapan besar oleh setengah orang Melayu Islam terutama yang non-partisan untuk melihat kejayaan Piagam yang dimeterai itu, demi kecintaan kepada agama, bangsa dan negara. Apatah lagi persefahaman ini dilihat mendapat dokongan penuh akar umbi kedua parti, walaupun terdapat segelintir pimpinan yang masih sinis dengan matlamat sebenar Muafakat Penyatuan Ummah (Muafakat Nasional) ini serta pelbagai fitnah daripada lawan politik masing-masing.
Menariknya lagi, muafakat ini dimeterai dalam suasana rakyat Malaysia masih lagi dalam mood menyambut Kemerdekaan dan pembentukan Negara Malaysia. 14 hari selepas Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos, dan 2 hari menjelang Hari Malaysia pada 16 September. Bagi rakyat yang cintakan kemerdekaan, keamanan dan keharmonian negara, tentu sekali tarikh-tarikh tersebut mempunyai nilai sentimentalnya sendiri dalam menzahirkan kecintaan kepada negara. Dan sudah barang tentu, pemilihan tarikh memeterai Piagam Muafakat Nasional antara PAS dan UMNO ini mempunyai signifikan yang tersendiri.
September 2019, menjadi bulan penting dalam mencipta sejarah politik negara bertuah bernama Malaysia. Dikala negara dilanda tsunami politik yang penuh kecelaruan, kegagalan kepimpinan negara dan parti politik dalam memahami realiti politik negara dek kerana kepentingan serakah politik mereka sehingga pentadbiran negara dilihat gagal berfungsi dengan baik, ditengahnya tercipta satu muafakat politik terbesar antara dua musuh yang telah berpuluh tahun lamanya bermusuhan.
Pengharapan kepada muafakat ini, akan menjadi titik tolak kepada tajdid (pembaharuan) politik tanah air yang akan mengislahkan (memperbaiki) kerosakan sistem yang ada dengan meletakkan agama, bangsa dan negara sebagai asas dan pasak utama pembentukan ketamadunan Negara Islam bernama Malaysia.
Rasul Junjungan Besar Muhammad SAW pernah bersabda bahawa akan muncul dan bangkitnya pembaharuan di setiap zaman (setiap 100 tahun) atas nama agama.
Daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW dengan
sabdanya, “Sesungguhnya Allah akan membangkitkan bagi umat ini pada
awal setiap seratus tahun orang yang mentajdidkan bagi (umat)nya,
agamanya". (Hadis riwayat Abu Daud)
Tahun 2019 adalah tahun ke 95 kejatuhan Empayar Islam terakhir Turki Uthmaniyah. Kejatuhan Khalifah Islam terakhir akibat daripada retorik pembaharuan berbentuk sekular-liberal perlu diambil iktibar oleh umat Islam sejagat. Dan jika diamati sejarah kejatuhan Kerajaan Islam Turki Uthmaniyah dengan kejatuhan Kerajaan UMNO-BN yang lebih 60 tahun memerintah negara, jalan ceritanya seakan hampir sama. Retorik pembaharuan berbentuk sekular-liberal diangkat, anak muda dipergunakan kononnya "kuasa anak muda" sehingga terzahir kebanggaan dalam diri mereka setelah menempa 'kejayaan', tetapi akhirnya, 'kejayaan' yang diharap melangit telah mendatangkan kekecewaan dan penyesalan dalam kalangan mereka.
Dengan mengambil iktibar daripada sabda Rasulullah SAW dan peristiwa kejatuhan Empayar Islam Turki Uthmaniyah, umat Islam seharusnya bersiap sedia dalam segala kemungkinan. Bersedia dengan segala kemungkinan, kerana bukan sahaja kebenaran yang sedang bangkit, tetapi fitnah yang tidur mula terjaga. Dan keduanya, antara KEBENARAN (HAK) dan FITNAH (BATHIL) akan membawa kita kepada pengakhiran, sama ada baik atau buruk.
5 tahun lagi, akan genaplah seratus tahun kejatuhan Empayar Khalifah Islam terakhir itu. Dan disetiap seratus tahun, akan bangkit suatu tajdid dalam kalangan umat Islam. DAN TIDAK MUSTAHIL, jika Penyatuan Ummah dan Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai antara PAS-UMNO itu adalah SUATU YANG IKHLAS ATAS NAMA AGAMA, MENJUNJUNG AQIDAH DAN PENSYARIATAN ISLAM YANG SEBENAR, MELETAKKAN KEADILAN DAN KEBENARAN SEBAGAI ASAS PERJUANGAN, MAKA TIDAK MUSTAHIL TAJDID DAN ISLAH ITU AKAN DIMULAKAN DAN DIBANGKITKAN OLEH UMAT ISLAM DI MALAYSIA. TANAH YANG BERKAT, YANG BERSEMADI RAMAI ULAMA, KEKASIH ALLAH DAN RASULNYA.
Janji Allah itu PASTI, dan setiap yang diperkatakan Rasulnya adalah Wahyu Yang Maha Berkuasa.
Hang Tuah pernah berkata, "takkan Melayu hilang di dunia, selagi mana berpegang teguh dengan Islam".
@IbnuHazmi
15 September 2019