Monday, 5 February 2018

KUASA ROTAN vs KUASA MANJA

Menarik satu catatan dalam buku kepimpinan al-Fateh membicarakan berkaitan ketegasan dalam mendidik. Buku ini menceritakan bagaimana Kuasa Rotan telah membina ketegasan dan kekentalan dalam diri Sultan Muhammad Al-Fateh sehingga mampu mentadbir lebih 20 buah negara dan lebih 200,000 tentera Usmaniah.

Catatan oleh Lord Kinross dalam The Ottoman Centuries, 1997 melaporkan bahawa Sultan Murad telah memberi sebatang rotan kepada guru Sultan Al-Fateh (Syeikh al-Kurani) sebagai tanda kebenaran merotan putera itu sekiranya ada keperluan. Bagi Sultan Murad, kelonggaran disiplin dan integriti adalah bahaya besar kepada anakandanya sebagai pewaris Usmaniah. Akhirnya, kuasa rotan ini telah mengubah Al-Fateh daripada seorang yang lemah prestasi pengajian ilmu, agresif dan suka keseronokan kepada seorang Penakhluk Yang Agung.

Dicatatkan juga bahawa Sultan Muhammad Al-Fateh pernah dipukul dengan sengaja tanpa sebarang kesalahan oleh Syeikh al-Kurani. Apabila ditanya rasional pukulan tersebut adalah bertujuan mengajar erti sakitnya kezaliman kepada rakyat di bawah pemerintahan beliau nanti. Demikian hikmah keadilan yang diajar kepada Sultan Al-Fateh. Tradisi didikan yang tegas dan keras inilah menjadi pendekatan Usmaniah kepada anak-anak diraja sehingga empayar ini mampu bertahan lebih 600 tahun dan lahirnya Al-Fateh Pemimpin Islam Agung.

Kaedah pendidikan yang tegas dan keras ini sebenarnya turut meresap dalam jiwa masyarakat Melayu Islam di Tanah Melayu. Tidak dapat dinafikan hukuman rotan menjadi pendekatan utama dalam mendisiplinkan anak-anak. Dan pendekatan ini terbukti dengan lahirnya rasa hormat, takut kepada orang tua dan membangkitkan semangat juang yan kental dalam diri masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.

Walau bagaimanapun amat malang sekali apabila pendekatan ini tidak diwarisi oleh ibu bapa moden di zaman milenia ini. Ketegasan dalam mendidik dan kuasa rotan tidak lagi diguna pakai kononnya akan membawa kepada pemberontakan jiwa anak-anak. Justeru pendekatan "reverse psychology" digunakan dengan memberi belaian lembut atas segala kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak. Kuasa Manja telah menggantikan Kuasa Rotan.

Lihat sahaja hari ini apabila Sistem Pendidikan Negara sendiri melarang hukuman rotan ke atas kesalahan disiplin di sekolah. Malah leteran dan hukuman ringan juga dilarang kerana dibimbangi mendatangkan tekanan perasaan dan pemikiran kepada para pelajar. Sistem Pendidikan yang memberi kebebasan kepada guru dalam menterjemahkan kaedah pengajaran dan pembelajaran tidak lagi dibenarkan sehingga membawa tekanan kepada guru tetapi relaks kepada pelajar. Sedangkan keberkatan ilmu itu pada keikhlasan seorang guru.

Kuasa Manja yang diilhamkan oleh ibu bapa moden ini kelihatan mendapat tempat dihati sesetengan golongan masyarakat. Lihat saja kesalahan kanak-kanak berumur 10 tahun tidak menunaikan solat, tidak dirotan atas pemikiran "mereka masih kecil". Sedangkan tuntutan Agama terhadap kesalahan ini adalah rotan.

Kuasa Rotan di zaman Al-Fateh yang penuh ketegasan amat berbeza dengan Kuasa Manja dizaman ibu bapa moden kini. Lihat sahaja kebimbangan seorang ayah terhadap sikap suka kepada keseronokan si anak sehingga sanggup memberi sendiri rotan kepada gurunya. Manakala ibu bapa moden kini mengagungkan keseronokan kepada anak-anak mereka. Sedari dalam kandungan, anak-anak milenia ini diperdengarkan lagu-lagu mengikut kehendak ibu bapa kononnya untuk merangsang akal si anak. Sedari kecil, anak-anak telah didedahkan dengan pelbagai gajet dan budaya hedonisme.

Akhirnya, didikan dengan Kuasa Manja telah melahirkan ramai "Anakku Sazali". Wujudnya pelbagai masalah sosial yang seakan membawa kemalapan ketamadunan bangsa. Namun menghairankan, masih ramai ibu bapa moden yang bangga dengan didikan Kuasa Manja ini. Mereka bangga dengan kemampuan memanjakan anak-anak.

Penulisan ini tidaklah untuk menafikan hak kasih sayang antara anak dan ibu bapa. Sifat kasih itu wujud sebagai fitrah kejadian manusia, namun bukanlah untuk ditempatkan membuta tuli. Sultan Murad yang bertindak  menghadiahkan rotan kepada guru Sang Puteranya bukan kerana benci akan sikap suka berseronok dan lemah dalam pembelajaran ilmu, tetapi atas dasar kasih sayang dan masa depan Al-Fateh. Kasih sayang kepada anak tidak bererti mereka tidak boleh dijentik dan ditegur. Hukuman rotan atau sedikit kekerasan sebenarnya suatu cara dalam memberi peringatan kepada anak-anak agar mereka tidak lalai dan alpa.

Kasih sayang, ketegasan dan kekerasan perlu diadunsebatikan dalam sistem pendidikan agar lahirnya suatu generasi yang kental jiwanya, rasional tindakannya dan mampu menjiwai sekeliling. Inilah generasi Al-Fateh yang ingin dilahirkan dalam kita mengorak langkah menuju Wawasan 2020 dan Transformasi Nasional 2050.