Tuesday, 17 July 2018

Politik Fitnah Perosak Masyarakat

"...Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh.. " - (al-Baqarah - 217)

Belakangan ini dapat dilihat dan diperhatikan akan kecenderungan kebanyakan masyarakat dalam mempercayai dan menyebarkan sesuatu berita yang tidak pasti malah palsu. Suatu perkara yang amat merunsingkan dan perlu diberi perhatian serius dalam usaha mengharmonikan negara menuju negara maju. Mentaliti rakyat yang mudah mempercayai dan menyebarkan berita palsu atau lebih tepat adalah membudayakan fitnah tidak boleh dikompromi dan wajib diubah. Malah ia menjadi tuntutan dalam kehidupan beragama agar menjauhi budaya fitnah sehingga diberi amaran tegas oleh Allah SWT bahawa (fitnah) lebih besar dari membunuh berdasarkan firman-Nya dalam ayat al-Quran di atas.

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, fitnah boleh ditakrifkan sebagai suatu tuduhan (khabar, kisah, dll) yang diada-adakan (dibuat-buat) untuk memburukkan atau membencanakan seseorang. Melihat kepada takrifan yang diberikan dalam kamus dewan tersebut jelas menunjukkan betapa jijik dan kejinya perbuatan fitnah dan orang yang melakukannya.

Perkembangan media kontemporari seperti facebook, twitter, whatsapp dan sebagainya di samping media arus perdana merancakkan lagi gejala fitnah dan berita palsu. Ditambah lagi dengan perjuangan sekumpulan kecil masyarakat terhadap "Freedom of Speech" dan "Freedom of Press" telah membuka ruang dan peluang yang besar kepada perkembangan gejala tersebut. Sesuatu perlu diteliti agar ianya tidak mengganggu kestabilan negara, malah yang lebih penting, ia selari dengan asas pembangunan negara Malaysia serta pensyariatan Islam.

Fitnah Penyakit Merentasi Zaman

Jika ditelusuri sejarah, penyakit fitnah ini bukanlah suatu yang baharu. Ianya telah hidup sejak zaman manusia pertama Adam A.S dan berterusan ke zaman junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Pelbagai ibrah dapat diambil sebagai pengajaran atas fitnah yang dihadapi oleh para Nabi dan Rasul. Malah, wanita syurga kesayangan Nabi SAW, Siti Aisyah turut difitnah seperti yang telah dirakamkan dalam hadith ifki (berita bohong).

Kerosakan yang berpunca daripada penyakit fitnah ini bukanlah sesuatu yang boleh dibuat mainan. Kemampuannya merosak dan meruntuhkan ketamadunan bangsa dan negara tidak boleh disangkal. Perkara ini boleh dilihat atas apa yang telah berlaku di zaman Sahabat R.A sehingga menjatuhkan kepimpinan para Khulafa ar-Rasyidin. Fitnah dahsyat yang dilemparkan telah membawa kepada pembunuhan khalifah besar Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Uthman Ibnu Affan serta membawa kepada peperangan antara Saidina Ali dan Saidatina Aisyah seperti yang tercatat dalam peristiwa Perang Jamal.

Begitu juga yang menjadi asbab kepada kejatuhan Empayar Kekhalifahan Islam terakhir, Turki Uthmaniyyah yang membawa kepada Revolusi Sekular pimpinan Mustafa Kamal Artartuk. Fitnah kemewahan melampau, kezaliman, salah guna kuasa dan banyak lagi telah membawa kepada kejatuhan pentadbiran Empayar Turki Uthmaniyyah pimpinan Sultan Abdul Hamid II yang pada ketika itu sedang bangkit menentang konspirasi musuh Islam. Fitnah yang dimainkan itu juga telah membawa kepada kebangkitan kumpulan pembebasan yang digelar "The Young Turks". Gerakan yang kononnya membawa idea pembaharuan dan pemodenan ini akhirnya melenyapkan pentadbiran dan pembudayaan Islam di Bumi Turki hingga kini. Lebih memilukan, fitnah jijik dalam menjatuhkan Empayar Islam Turki Uthmaniyyah ini bukan sahaja dimainkan oleh masyarakat setempat, tetapi turut mendapat sokongan dan tajaan negara-negara Barat dan Yahudi yang ingin melihat kehancuran Islam.

Sejarah juga menunjukkan kerosakan fitnah yang ditaja barat dan musuh Islam tidak berhenti setelah kejatuhan Khilafah Islamiyyah terakhir itu. Ia terus dimainkan sehingga membawa kepada perpecahan Negara-Negara Teluk yang majoritinya umat Islam. Lihat sahaja fitnah kekejaman dan penggunaan sejata berbahaya oleh Amerika Syarikat dan Sekutunya ke atas Pentadbiran Minoriti Sunni di Iraq pimpinan Saddam Hussein. Sehingga kini gagal dibuktikan walaupun negara tersebut telah menjadi padang jarak, padang tekukur dan Saddam telahpun dijatuhkan hukuman mati. Kini virus fitnah itu terus merebak di Negara Timur Tengah seperti Mesir, Syria, Yaman dan lain-lain lagi.

Dan pada saat dan ketika ini, virus fitnah kian merebak di tanah bertuah Malaysia tercinta. Lihat sahaja apa yang berlaku dalam sistem sosial, politik dan kenegaraan kita, hampir setiap hari dibadai dengan api fitnah menjatuhkan satu sama lain. Malah, api fitnah itu terus dinyalakan sehingga membantutkan pertumbuhan ekonomi negara. Entah siapa untung, siapa rugi.

Hentikan Politik Fitnah dan Kebencian

Kewujudan budaya politik fitnah dan kebencian di Malaysia tidak boleh disangkal sama sekali. Perkara ini telah membarah berpuluh tahun lamanya. Jika dahulu kita dihidangi dengan fitnah siapa lebih Islamik perjuangannya antara PAS dan UMNO/BN, kini kita dihidang pula dengan siapa lebih sempurna Islamnya antara PAS, UMNO dan Parti Amanah Negara. Jika dahulu kita dihidangkan dengan politik fitnah dan kebencian akan siapa yang lebih telus dalam menjaga kepentingan masyarakat antara DAP dan UMNO/BN, kini kita dihidangkan pula dengan siapa yang lebih baik dalam mentadbir negara antara DAP, Bersatu dan UMNO. Yang jelas, polemik politik fitnah dan kebencian yang berterusan ini merugikan agama, bangsa dan tanah air. Tiada lagi politik toleransi dan musyawarah yang menjadi pegangan melainkan fitnah dan kebencian.

Hasil daripada politik fitnah dan kebencian yang ditanam berpuluh tahun dahulu, kini dapat kita tuaikan. Lihat sahaja komen dan reaksi penyokong dan pendokong pemimpin dan parti politik di media sosial hari ini. Setiap artikel dan berita semasa dikaitkan dengan sentimen politik kebencian dan kata nista. Perkara ini juga dapat dilihat ketika pra dan pasca pilihan raya umum lalu. Berapa ramai pemimpin politik dikaitan atas tuduhan fitnah, dan berapa ramai pula anggota masyarakat yang terperangkap dalam fitnah tersebut. Sudah pasti perkara ini akan membawa kepada perhitungan dihadapan Tuhan Rabbul Jalil kelak.

Hari ini juga dapat dituai hasil dengan lahirnya gerakan golongan muda yang hilang identiti dan jati diri kenegaraan mereka. Isu perkauman dan agama terus dimainkan. Hak keistimewaan bumiputera, Institusi Kesultanan Melayu dan Agama Islam senantiasa dilontar dengan api fitnah dan kata nista atas nama perjuangan hak asasi dan kesamarataan. Tanpa mereka sedari bahawa perjuangan tersebut akan membawa kepada api kemarahan dan pertembungan kaum dan agama di negara ini. Jika diteliti dan dikaji, skrip fitnah yang sama digunakan dalam menjatuhkan tamadun besar seperti Empayar Turki Uthmaniyyah suatu ketika dahulu. Malah,  jalan cerita juga hampir sama digunakan dengan membangkitkan semangat orang muda atas nama perubahan dan pembaharuan.

Mereka telah berjaya menghasilkan Arab Spring di Mesir dan negara sekitarnya hampir sepuluh tahun lalu, dan adakah kini Malaysia negara seterusnya? Perkara ini harus dihalang dan kesedaran rakyat perlu dipertingkatkan.

Rosaknya Masyarakat

Bahaya api fitnah yang cuba dinyalakan ini tidak boleh disangkal. Jika tidak dibendung, ia boleh merosakkan masyarakat keseluruhannya. Minda masyarakat yang senantiasa dimomokkan dengan fitnah dan berita palsu akan terbantut dan sempit. Fitnah dan berita palsu akan membawa kepada hilang kewarasan fungsi akal yang akan membawa kepada sifat merendah diri, amarah, dendam dan kebencian. Ia boleh menggangu emosi dan psikologi individu dan keluarga seterusnya merosakkan reputasi dan krebiliti individu akibat cemuhan, hinaan dan kejian. Bayangkan jika perkara ini berlaku dalam kalangan pemimpin dan pemain politik negara.

Dari segi kemasyarakatan pula, virus fitnah mampu membawa kepada sistem masyarakat yang huru-hara dan hilang kepercayaan terhadap satu sama lain. Lihat sahaja istilah "Mak Cik Bawang" yang timbul dalam masyarakat hari ini. Istilah tersebut dilihat membawa kecelaruan dan pergaduhan dalam masyarakat. Mak Cik Bawang merujuk kepada individu atau kumpulan yang suka mengumpat dan membicarakan (ambil tahu) akan hal orang lain. Perkara ini telah menimbulkan ketidakselesaan sehingga membawa kepada kerenggangan hubungan sosial dan kemasyarakatan apatah lagi jika melibatkan kepimpinan politik dan negara.

Fitnah dan berita palsu juga telah menghakis nilai dan adat budaya ketimuran murni yang ada dan diwarisi oleh warganegara berbilang kaum terutama masyarakat Melayu. Sudah tiada lagi sikap hormat menghormati, bersangka baik, bertegur sapa dalam kalangan masyarakat. Yang ada hanya keinginan untuk menjuarai dan menjadi yang pertama dalam menyebarkan sesuatu berita tanpa sebarang usul periksa dan nas yang qat'ie. Ia akan menjadi kebanggaan apabila info tersebut mendapat "like", "share" dan "komen" daripada pengikut.

Semestinya akibat yang lebih besar hasil perbuatan menyebarkan berita palsu dan fitnah ini adalah akan membawa kepada suatu pertembungan ideologi, agama, kaum dan etnik serta kumpulan majoriti dan minoriti. Perkara ini bukan sahaja merosakkan masyarakat, malah meruntuhkan negara dan ketamadunan yang telah tercipta berdekad lamanya. Sejarah telah membuktikan bahawa perkara ini telah dan mampu berlaku. Peribahasa Melayu ada berkata "usah biarkan pisang berbuah dua kali". Dikala itu, tiada lagi sesalan yang berguna. Yang ada cuma tangisan dalam kelaparan. Bumi bertuah menjadi gersang diselubungi kepiluan.

Kesimpulan

Fitnah dan berita palsu tidak boleh dihalalkan atas apa jua alasan sama ada hak asasi, freedom of press mahupun freedom of speech. Ianya perlu ditolak oleh sekalian makhluk bernama manusia demi kepentingan sejagat. Fitnah dan berita palsu jelas haram dalam kehidupan beragama dan menyalahi norma kehidupan bermasyarakat.

Pihak kerajaan harus memandang serius terhadap virus fitnah yang kian merebak ini. Perkara ini tidak boleh dijadikan alasan dalam apa jua tindakan terutama sebagai senjata politik. Mentaliti politik fitnah yang sering digunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan musuh harus dihentikan tanpa alasan. Setiap pemimpin dan parti politik harus memainkan peranan dalam menenangkan para penyokong dan pendokong mereka. Barang harus diingat, jika anak kecil dicorakkan kehidupannya oleh ibu bapa, maka kehidupan rakyat dicorak oleh pemimpin dan kerajaan. Segala tindakan pemimpin dan kerajaan merupakan pembelajaran kepada rakyat.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15, Sultan Muhammad V dalam titah ucapan pembukaan Mesyuarat Dawan Rakyat Penggal Pertama Parlimen Ke-14 telah memberi penekanan dan amaran terhadap pemikiran politik bermodal fitnah dan sensasi serta menyeru kepada usaha melakukan penjernihan yang ikhlas bagi mewujudkan perpaduan yang tulen dan murni. Baginda juga menitahkan agar titik persamaan dicari demi kesejahteraan rakyat dan survival negara.

Tindakan tegas yang berdasarkan peruntukan undang-undang perlu diambil secara serius terhadap pelaku fitnah. Tindakan di bawah Akta Hasutan 1948, Kanun Jenayah (Panel Code) Seksyen 499-502 bagi Fitnah Jenayah dan Akta Fitnah 1957 bagi Fitnah Sivil perlu sentiasa kekal relevan dengan tuntutan semasa. Pendidikan dan penerangan berkaitan undang-undang fitnah ini perlu diperluaskan kepada masyarakat awam dalam menzahirkan kesedaran akan bahaya fitnah. Begitu juga dengan Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 yang sepatutnya tidak perlu dimansuhkan sepertimana yang dituntut dalam Manifesto Pilihan Raya Kerajaan Pakatan Harapan hari ini. Alasan bahawa akta tersebut bersifat politik dan bertujuan memberi tekanan kepada musuh politik oleh kepimpinan terdahulu adalah sudah tidak relevan apatah lagi pentadbiran kerajaan kini telah berada di bawah Pakatan Harapan. Jika benar Kerajaan Pakatan Harapan menjunjung tinggi nilai integriti dan ketelusan, akta tersebut boleh sahaja digunakan bagi tujuan yang baik tanpa campur tangan dan sentimen politik. Semua itu atas kehendak diri sendiri yakni pihak yang berkuasa dan pemerintah.

Mencegah dan memerangi virus fitnah serta berita palsu adalah tanggungjawab semua pihak. Ia merupakan suatu yang mendasari Rukun Negara yang menjadi tunjang kepada keharmonian kaum di Malaysia. Perkara ini selaras dengan prinsip 'Kesopanan dan Kesusilaan' dalam Rukun Negara yang menjadi asas kepada penerapan nilai budi, adab dan ketertiban dalam kehidupan masyarakat seterusnya menjauhkan diri daripada budaya fitnah serta kebebasan tanpa batas. Perkara ini juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara ke arah melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani serta mampu memberi sumbangan kepada kemakmuran dan keharmonian masyarakat dan negara. Dengan ini lahirlah karektor masyarakat Malaysia yang bertamadun dengan ketinggian budi bicara, budi pekerti dan berbudi bahasa.

Penulis
Mohd Syarul Razi Mohd Hazmi
Timbalan Presiden Pertubuhan Kepimpinan dan Pembangunan Karakter Kebangsaan

Monday, 5 February 2018

KUASA ROTAN vs KUASA MANJA

Menarik satu catatan dalam buku kepimpinan al-Fateh membicarakan berkaitan ketegasan dalam mendidik. Buku ini menceritakan bagaimana Kuasa Rotan telah membina ketegasan dan kekentalan dalam diri Sultan Muhammad Al-Fateh sehingga mampu mentadbir lebih 20 buah negara dan lebih 200,000 tentera Usmaniah.

Catatan oleh Lord Kinross dalam The Ottoman Centuries, 1997 melaporkan bahawa Sultan Murad telah memberi sebatang rotan kepada guru Sultan Al-Fateh (Syeikh al-Kurani) sebagai tanda kebenaran merotan putera itu sekiranya ada keperluan. Bagi Sultan Murad, kelonggaran disiplin dan integriti adalah bahaya besar kepada anakandanya sebagai pewaris Usmaniah. Akhirnya, kuasa rotan ini telah mengubah Al-Fateh daripada seorang yang lemah prestasi pengajian ilmu, agresif dan suka keseronokan kepada seorang Penakhluk Yang Agung.

Dicatatkan juga bahawa Sultan Muhammad Al-Fateh pernah dipukul dengan sengaja tanpa sebarang kesalahan oleh Syeikh al-Kurani. Apabila ditanya rasional pukulan tersebut adalah bertujuan mengajar erti sakitnya kezaliman kepada rakyat di bawah pemerintahan beliau nanti. Demikian hikmah keadilan yang diajar kepada Sultan Al-Fateh. Tradisi didikan yang tegas dan keras inilah menjadi pendekatan Usmaniah kepada anak-anak diraja sehingga empayar ini mampu bertahan lebih 600 tahun dan lahirnya Al-Fateh Pemimpin Islam Agung.

Kaedah pendidikan yang tegas dan keras ini sebenarnya turut meresap dalam jiwa masyarakat Melayu Islam di Tanah Melayu. Tidak dapat dinafikan hukuman rotan menjadi pendekatan utama dalam mendisiplinkan anak-anak. Dan pendekatan ini terbukti dengan lahirnya rasa hormat, takut kepada orang tua dan membangkitkan semangat juang yan kental dalam diri masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.

Walau bagaimanapun amat malang sekali apabila pendekatan ini tidak diwarisi oleh ibu bapa moden di zaman milenia ini. Ketegasan dalam mendidik dan kuasa rotan tidak lagi diguna pakai kononnya akan membawa kepada pemberontakan jiwa anak-anak. Justeru pendekatan "reverse psychology" digunakan dengan memberi belaian lembut atas segala kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak. Kuasa Manja telah menggantikan Kuasa Rotan.

Lihat sahaja hari ini apabila Sistem Pendidikan Negara sendiri melarang hukuman rotan ke atas kesalahan disiplin di sekolah. Malah leteran dan hukuman ringan juga dilarang kerana dibimbangi mendatangkan tekanan perasaan dan pemikiran kepada para pelajar. Sistem Pendidikan yang memberi kebebasan kepada guru dalam menterjemahkan kaedah pengajaran dan pembelajaran tidak lagi dibenarkan sehingga membawa tekanan kepada guru tetapi relaks kepada pelajar. Sedangkan keberkatan ilmu itu pada keikhlasan seorang guru.

Kuasa Manja yang diilhamkan oleh ibu bapa moden ini kelihatan mendapat tempat dihati sesetengan golongan masyarakat. Lihat saja kesalahan kanak-kanak berumur 10 tahun tidak menunaikan solat, tidak dirotan atas pemikiran "mereka masih kecil". Sedangkan tuntutan Agama terhadap kesalahan ini adalah rotan.

Kuasa Rotan di zaman Al-Fateh yang penuh ketegasan amat berbeza dengan Kuasa Manja dizaman ibu bapa moden kini. Lihat sahaja kebimbangan seorang ayah terhadap sikap suka kepada keseronokan si anak sehingga sanggup memberi sendiri rotan kepada gurunya. Manakala ibu bapa moden kini mengagungkan keseronokan kepada anak-anak mereka. Sedari dalam kandungan, anak-anak milenia ini diperdengarkan lagu-lagu mengikut kehendak ibu bapa kononnya untuk merangsang akal si anak. Sedari kecil, anak-anak telah didedahkan dengan pelbagai gajet dan budaya hedonisme.

Akhirnya, didikan dengan Kuasa Manja telah melahirkan ramai "Anakku Sazali". Wujudnya pelbagai masalah sosial yang seakan membawa kemalapan ketamadunan bangsa. Namun menghairankan, masih ramai ibu bapa moden yang bangga dengan didikan Kuasa Manja ini. Mereka bangga dengan kemampuan memanjakan anak-anak.

Penulisan ini tidaklah untuk menafikan hak kasih sayang antara anak dan ibu bapa. Sifat kasih itu wujud sebagai fitrah kejadian manusia, namun bukanlah untuk ditempatkan membuta tuli. Sultan Murad yang bertindak  menghadiahkan rotan kepada guru Sang Puteranya bukan kerana benci akan sikap suka berseronok dan lemah dalam pembelajaran ilmu, tetapi atas dasar kasih sayang dan masa depan Al-Fateh. Kasih sayang kepada anak tidak bererti mereka tidak boleh dijentik dan ditegur. Hukuman rotan atau sedikit kekerasan sebenarnya suatu cara dalam memberi peringatan kepada anak-anak agar mereka tidak lalai dan alpa.

Kasih sayang, ketegasan dan kekerasan perlu diadunsebatikan dalam sistem pendidikan agar lahirnya suatu generasi yang kental jiwanya, rasional tindakannya dan mampu menjiwai sekeliling. Inilah generasi Al-Fateh yang ingin dilahirkan dalam kita mengorak langkah menuju Wawasan 2020 dan Transformasi Nasional 2050.